IQ (Intelligence Quotient) ialah kebolehan atau kecerdasan intelektual seseorang, memikirkan, menganalisis, menghuraikan, menterjemah dan menguasai sesuatu perkara dan fakta. EQ (Emotional Quatient) ialah kebolehan atau kecerdasan emosi seseorang untuk mengawal, memberi reaksi dan respons ketika berhadapan dengan sesuatu situasi.
Orang yang hebat ialah orang yang memiliki kedua-duanya, iaitu tahap IQ dan EQ yang tinggi. Lazimnya untuk mendapatkan orang yang memiliki IQ yang tinggi lebih mudah, berbanding untuk mendapatkan orang yang mempunyai EQ yang tinggi. Sebenarnya, kecerdasan emosi atau EQ adalah lebih penting dalam penilaian menentukan kewibawaan seseorang.
Sebab itulah sesebuah organisasi atau syarikat, jika hendak mengambil pekerja baharu, mesti mengadakan temu duga. Mengapakah perlu ditemu duga? Bukankah memadai pihak organisasi atau syarikat menilai kemampuan pemohon berdasarkan IQ, iaitu kelulusan akademik mereka sahaja?
Sebab IQ atau kecerdasan minda pemohon sudah tertera berdasarkan pencapaian akademiknya, yang tercatat pada sijilnya, berapa banyak A yang diperolehnya, dan mata pelajaran yang dia mempunyai pencapaian cemerlang.
Walau bagaimanapun, dalam temu duga mengambil pekerja baharu ini, penilaian EQ sangat perlu diambil kira selain penilaian IQ, kerana penilaian EQ menilai sikap individu. Sesebuah organisasi atau syarikat bukan hanya memerlukan pekerja yang cerdas minda, tetapi perlu juga seorang pekerja yang cerdas emosi.
Penilaian EQ menilai tahap kecerdasan emosi individu, iaitu dari segi penguasaan dan kendalian emosi individu. Contohnya dari bahasa badan ketika menjawab soalan temuduga, dapat dinilai penampilan kita, adakah kita seorang yang berkeyakinan dan agresif atau seorang yang tidak bersemangat, kelam-kabut, dan pasif? Penemu duga boleh menilai tahap EQ orang yang ditemu duga berdasarkan cara dia menerima, menghadapi, mengawal emosinya ketika berhadapan dengan soalan yang berbentuk provokasi.
Kecerdasan emosi penting untuk kita mendapatkan sesuatu sasaran dan menjadi magnet diri. Magnet dan aura diri bergantung kepada emosi kita. Jika emosi negatif, magnet dan aura diri kita negatif, kesannya kita akan menarik banyak perkara negatif dalam hidup kita.
Contohnya, pernahkah berhadapan dengan situasi, kita marah sangat dengan pekerja kita yang membuat kesilapan yang sama. Berapa kali kita cakap pun dia masih membuat kesilapan yang sama. Kita marah sebab kita kaitkan marah kita itu, dengan pekerja kita yang membuat kesilapan.
Dan yang penting kita marah kerana kita mendapat magnet yang sama dengan perkerja kita itu, iaitu magnet negatif; benci, kecewa dan marah. Kadang-kadang kita diduga oleh pekerja yang tidak cekap. Adakah kita akan marah dia atau kita nasihatkan kepadanya, supaya melakukan kerja dengan baik dengan cara mengawal EQ atau kecerdasan emosinya?
IQ (kecerdasan minda) dan EQ (kecerdasan emosi) menjadi asas seseorang itu menjadi ‘pekerja yang berkesan’. ‘Pekerja yang berkesan’, apabila membuat sesuatu tugasan; nilaian usahanya’ 2 tetapi nilaian ‘hasilnya’ 10. Sebaliknya ‘pekerja yang tidak berkesan’ pula, nilaian ‘usahanya’ 10 dan nilai ‘hasilnya’ 2. Untuk menjadi ‘pekerja yang berkesan’ IQ dan EQ perlu sentiasa dipertingkatkan, agar sentiasa segar dan berkesan, dengan ilmu, amal dan istiqamah.
Merpertingkatkan IQ dan EQ melalui ilmu, ada dua konsep yang penting dalam hal ini, iaitu pertama, self promotion (promosi diri untuk kerjaya) kedua, self improvement (memperbaiki diri untuk kehidupan). Antara kedua-duanya yang mana lebih penting dibina oleh seseorang pekerja?
Kebanyakan pekerja akan lebih memberikan tumpuan kepada self promotion (promosi diri untuk kerjaya) yang lebih kepada penyuburan IQ. Contoh, untuk kenaikan pangkat, kita sanggup berbuat apa sahaja. Jika menghadiri kursus selama sebulan sebagai memenuhi syarat yang diperuntukan bagi kenaikan pangkat, kita akan cuba menghadirinya walaupun sibuk, dan kalau berbayar pun kita sanggup.
Kegigihan
Tetapi tidak banyak orang akan sanggup memperuntukkan masa dan melaburkan wang untuk menghadiri kursus berbentuk self improvement (memperbaiki diri untuk kehidupan). Sedangkan dalam kursus beginilah kita dapat menimba ilmu untuk mempertingkatkan EQ. Kita sibuk dengan urusan harian sama ada di tempat kerja atau di rumah, kehidupan sosial dan tanggungjawab kita dengan keluarga, hingga tidak ada masa untuk membajai emosi diri sendiri, dengan mencari ilmu, amal dan istiqamah.
Analoginya umpama penebang pokok yang tidak berjaya untuk menebang pokok, seperti yang selalu dilakukannya, kerana gergajinya telah tumpul. Biarpun, dia bekerja dengan semangat, kegigihan dan kekuatan yang sama seperti hari-hari sebelumnya, tetapi kerana dia tidak pernah berhenti seketika untuk mengasah gergajinya, hari itu dia mengalami kegagalan dalam kerjayanya. Alasannya kerana setiap hari dia sibuk menebang pokok yang menjadi tugasannya, hingga dia tidak sempat mengasah gergajinya yang menjadi alat penting dalam tugasnya itu.
Maksudnya kerana pekerja itu enggan memperuntukkan masa untuk mempertingkatkan tahap efisien diri dan caranya bekerja, akhirnya dia gagal menjadi ‘pekerja yang berkesan’. Dia telah bekerja dalam nilaian usahanya 10, tetapi hasilnya hanya dapat dalam nilaian 2 sahaja.
Tetapi, jika pemuda itu mengambil masa setengah jam untuk mengasah gergajinya, maka hasil kerjanya sebagai penebang pokok, pasti menjadi nilaian 10, biarpun usahanya hanya dalam nilaian 2 sahaja. Banyak kita jumpa, orangyang nampak rajin dan berkerja keras, tetapi mendapat pulangan hasil yang tidak seberapa.
Bagaimanakah cara untuk membaiki diri melalui peningkatan EQ (kecerdasan emosi)? Carilah ilmu dengan membaca, mendengar, berdiskusi, dan berinteraksi tentang ilmu yang positif. Hadiri seminaryang memperingkatkan motivasi serta mengasah dan menajamkan inspirasi kita.
Hal ini amat penting kerana, apabila menghadiri seminar begini, kita belajar bukan dengan mendengar sahaja, tetapi kita berpeluang berada di sekeliling orang yang positif. Situasi ini akan meningkat kerohanian dan roh kita, dan lama-lama kita akan dipengaruhi dengan aura yang positif.
Jadilah orang yang ‘commitment’ (komitmen/memberi perhatian sepenuhnya), bukan manusia interested (berminat). Orang yang interested akan hanya pergi ke majlis yang dia minat dan dirasakan akan mendapat pulangan duniawi sahaja, wang ringgit misalnya.
Orang yang ‘komitmen’, iaitu orang yang akan membuat sesuatu untuk membaiki diri sendiri, walaupun tidak ada masa dan tidak cukup wang, dia akan berusaha untuk mendapatkan ilmu yang boleh memberikan manfaat kepadanya dunia dan akhirat.
Insya-Allah diri akan berubah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.
Orang yang lebih mementingkan self improvement (memperbaiki diri untuk kehidupan), bukan hanya mendapat peningkatan kecerdasan emosi untuk kerjaya sahaja, tetapi juga mendapat manfaat dari segi kesuburan fizikal, mental, kerohanian, hubungan dengan manusia, kewangan dan sosial yang perlu diberikan pengisian dalam kehidupan seharian kita, yang memberikan kesan kepada emosi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/iq-dan-eq-serta-mengukur-nilai-diri-1.28040#sthash.OJFiJ8K4.dpuf
0 Komentar untuk " IQ dan EQ serta mengukur nilai diri "