BUKAN kami yang nak cukai barangan dan perkhidmatan (GST).  Kalau kami tidak kenakan GST, nanti kami pula kena tampung kos guna duit sendiri,” demikian kata Pengarah Urusan Nurul Izzah Catering, Haron Khamis.
Haron berkata, pengusaha katering akan gulung tikar jika terpaksa menampung kos GST dan mengekalkan harga sedia ada kepada pelanggan.

“Kalau kita tidak kenakan caj GST kepada pelanggan, nanti kami kena pakai duit poket sendiri.

"Lama-lama kedai boleh tutup sebab tidak mampu lagi tampung kos operasi yang tinggi.

“Ramai pelanggan mungkin akan bising sebab harga naik, tetapi saya yakin, mereka tetap akan bayar juga. Namun, Nurul Izzah Catering akan menjaga kualiti makanan dan perkhidmatan yang kami sediakan setanding dengan harganya,” katanya.

Sejak memulakan perniagaan katering untuk perkahwinan pada 2010, Haron berkata, harga pakej yang disediakan akan naik setiap tahun, bergantung kepada kos semasa.

“Pada 2010, kita mula perniagaan dengan menjual pada harga RM10 untuk setiap orang sebab Nurul Izzah Catering masih belum dikenali lagi, RM11.50 (2011), RM12.50 (2012), RM13.50 (2013) dan RM15.90 pada 2014.

“Jika GST dilaksanakan, kita akan kekalkan harga sedia ada dan tambah caj GST enam peratus,” katanya.