Empat faktor lonjak semula kecemerlangan pendidikan sekolah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Empat faktor lonjak semula kecemerlangan pendidikan sekolah

Pelajar SKTM Kumpulan Raptor memberi penerangan mengenai Endeladus, projek robotik yang berjaya memenangi Anugerah Cemerlang pada Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2014.

Sebut sahaja isu pendidikan, sudah tentu ramai yang mula berasa gelisah. Ramai akan mengimbau kenangan dahulu ketika mutu pendidikan lebih hebat dibandingkan dengan situasi di sekolah-sekolah kebangsaan kini.

Sungguhpun ada cabaran yang terpaksa didepani, tidak mustahil untuk melonjakkan semula prestasi pendidikan. Daripada 10,000 sekolah di seluruh pelosok negara, 128 dinobatkan sebagai sekolah berprestasi tinggi. Sekolah berkenaan mencatatkan rekod akademik yang cemerlang, berjaya meraih anugerah dalam dan luar negara, memanfaatkan jalinan kerjasama dengan institusi pendidikan yang lain dan diterajui oleh personaliti berkeupayaan tinggi.

Amalan sekolah berprestasi tinggi


Pada hakikatnya, tidak semua sekolah diiktiraf ini terletak di pusat bandar yang mewah, malahan, ada antaranya terselit jauh di ceruk kampung. Sudah tentu persoalan yang timbul ialah apakah petua yang diamalkan oleh sekolah berprestasi tinggi ini?

Apa yang pasti, 128 sekolah ini tidak menjadikan faktor di bawah sebagai alasan untuk menghalang mereka mencapai prestasi cemerlang:


1. Fasiliti sekolah bukan alasan. Kemudahan yang ada di sekolah ini tidak banyak bezanya. Sungguhpun peralatan seperti komputer, papan putih digital dan bangunan serba canggih mampu mengubah persekitaran pembelajaran, ia bukanlah faktor penentu terhadap mutu pendidikan yang dicatatkan di sekolah ini. Jelas, tiada kemudahan istimewa di sekolah cemerlang berbanding dengan sekolah biasa, namun keputusan yang mereka capai begitu memberangsangkan;

2. Kurikulum bukan alasan. Kurikulum kebangsaan sebenarnya sudah cukup lengkap dan sedapat-dapatnya menjadi sasaran bagi semua sekolah. Dalam kata lain, kurikulum yang dilaksanakan di sekolah berprestasi tinggi ini sama sahaja dengan sekolah biasa, tetapi keputusan diraih jauh berbeza dari aspek kecemerlangan;

3. Menaikkan gaji guru bukan alasan. Gaji diperoleh oleh guru sekolah kebangsaan sama dan diselaraskan di seluruh negara, namun, dedikasi ditunjukkan oleh guru terhadap pelajar mereka di sekolah berprestasi tinggi ternyata berbeza.

Saya melihat sendiri betapa beraninya segelintir pihak sekolah mengetepikan kelaziman atau trend biasa lantas mereka bangkit menerobos segala cabaran dan muncul juara. Saya tidak segan meminta perkongsian mereka agar kaedah yang diterapkan dapat kita garapkan menjadi contoh untuk dimanfaatkan oleh negara.

Tiga buah sekolah menjadi ilham perkongsian saya kali ini.

l Sekolah Sri KDU di Damansara, sebuah sekolah swasta, menggunakan kurikulum kebangsaan. Pengetua Sri KDU, Datin Chan, begitu nekad menjadikan sekolah itu sebagai sekolah terbaik di Malaysia. Petanda yang membuktikan kejayaan dasar yang beliau amalkan ialah keputusan penilaian PISA 2012 yang diadakan di 65 negara, termasuk Malaysia. Sri KDU telah meraih pencapaian skor terbaik daripada 164 sekolah di seluruh negara yang menjalani penilaian itu. Malah, skor yang mereka peroleh bagi subjek Matematik, Sains dan Bacaan setanding dengan skor dicatat oleh Shanghai, Singapura dan Korea Selatan pada tahap kebangsaan.

Rahsia mereka? Separuh hari saya luangkan bersama-sama Datin Chan sambil meneliti panduan serta proses mengajar di sekolah ini. Akhirnya, rahsia itu dapat saya singkap. Sekolah Sri KDU memfokuskan kemampuan tenaga pengajar agar selari dengan kualiti yang terbaik.
Bahkan, pada akhir tahun, semua guru diminta menghadirkan diri di sekolah selama 14 hari untuk membuat persiapan bagi tahun seterusnya, walaupun waktu itu ialah cuti sekolah.

Selain itu, pihak guru diwajibkan mengajar menurut ketetapan kurikulum dan patuh kepada kaedah yang sudah terbukti berkesan. Setiap hari, mereka memaklumkan kepada ibu bapa mengenai bab yang diajar serta tugasan rumah melalui e-mel atau pesanan ringkas. Setiap hari juga, pelajar wajib menyiapkan kerja rumah mereka.

l Sekolah Rendah Ulu Lubai di kawasan pedalaman Sarawak juga adalah sebuah contoh ketara. Kegigihan dan semangat kental yang diperlihatkan oleh pengetuanya, Jaul anak Buyau dalam mendorong ibu bapa dan pelajar untuk mentransformasikan sekolah itu berjaya mengangkat martabat sekolah menjadi antara sekolah terbaik dalam negara sungguhpun infrastruktur sekolah itu amat daif sekali. Ketiadaan fasiliti canggih langsung tidak menghambat kejayaan pelajar di sekolah pedalaman ini.

Pengetua berjiwa waja

Minggu lalu, saya berpeluang melawat SK Taman Megah (SKTM) di Petaling Jaya. Di bawah teraju pimpinan pengetuanya yang berjiwa waja, Ms Khoo, pihak sekolah meraikan saya dengan persembahan sebutan korus, drama muzika Ramayana, tarian Melayu serta kemahiran bercerita oleh pelajar sekolah.

Sekiranya ditanya kelebihan SKTM, tanpa ragu-ragu saya mengatakan yang keunikan SKTM ialah kesungguhan Ms Khoo dalam memastikan ibu bapa turut serta dalam alam persekolahan anak mereka.
Setiap ibu bapa yang mengadu kepada beliau akan beliau dengar dan berusaha mencari jalan penyelesaian. Istimewanya, Ms Khoo mencari muafakat bersama-sama ibu bapa yang mengadu. Justeru, permasalahan itu diselesaikan melalui bantuan tenaga ibu bapa. Tidak kiralah sama ada isu kekurangan air atau litar pintas elektrik, Ms Khoo memanfaatkan pertemuan untuk membina jalinan kerjasama dengan ibu bapa.

Pihak ibu bapa turut menyumbang dalam pembentukan sebuah struktur program seni pentas dan menawarkan khidmat bakti mereka mengajar muzik, tarian, bacaan puisi dan kesenian kepada pelajar sekolah. Bahkan, ketika guru menjalani kursus di luar sekolah, golongan ibu dan ayah membantu mengambil alih kelas. Jalinan PIBG di sekolah SKTM sangat erat dan mereka bersama-sama bertekad mencapai kecemerlangan pelajar dalam apa cara sekalipun.

Rumusan yang saya sarankan di sini ialah gabungan empat faktor penting yang akan melonjakkan prestasi sesebuah sekolah:

l Pengetua. Menurut Ms Khoo, tidak pernah terlintas di hati beliau untuk mengejar impian lain, kecuali berkhidmat di sekolahnya. Pokok pangkalnya ialah komitmen pemimpin sekolah untuk menggalas kebertanggungjawaban dan iltizam untuk membawa perubahan kepada sekolah.

l Guru. Tiada alasan yang boleh diterima jika guru tidak mengajar sepenuhnya dalam kelas, dan guru tidak boleh berdolak-dalih dalam melaksanakan kurikulum yang sudah ditetapkan.

l Ibu bapa. Pencapaian dan sahsiah pelajar tidak terletak di bahu guru semata-mata. Ayah saya pengetua dan guru di sekolah saya ketika di kampung. Beliau bukan hanya mengajar saya dalam kelas, malahan, di rumah pun, beliau tetap menjalankan peranannya mendidik saya.

l Pelajar. Kesukaran pasti timbul sekiranya pelajar tiada keinginan untuk belajar. Oleh itu, pengetua, guru dan ibu bapa wajar menumpukan perhatian kepada pelajar. Harus diingat nama yang akan dijulang ialah nama pelajar itu.


Kumpulan pelajar SKTM berbakat dalam seni pentas.

Transformasi sekolah

Transformasi sebuah sekolah bermula dengan pengetua sekolah, namun, amanah ini bukan dipikul oleh beliau seorang. Saat obor transformasi itu dinyalakan oleh pengetua, lantas pihak guru, ibu bapa dan pelajar bersungguh-sungguh menggalasnya, hanya kecemerlangan yang akan menanti.
Jika saya diberi peluang, ingin saya mulakan sebuah pelan rintis dengan menarik pengetua terbaik lalu digandingkan dengan guru mata pelajaran di sekolah terbaik, kemudian saya tugaskan mereka semua di sekolah yang paling lemah untuk tempoh enam bulan, sebagai contoh. Saya berani bertaruh dalam masa enam bulan, pencapaian pelajar di sekolah itu akan naik mendadak.

Citra kehidupan manusia mampu dirubah dengan obor transformasi dan ia bermula di sekolah. Tiada jalan pintas untuk meraihnya, hanya gandingan peranan setiap pihak yang dapat menjayakannya.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif bagi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sebarang komen yang bersifat adil dan telus amat dialukan di idrisjala@ pemandu.gov.my

Related Post

0 Komentar untuk " Empat faktor lonjak semula kecemerlangan pendidikan sekolah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ