* Perjanjian-perjanjian pembukaan pasaran antara negara dan ekonomi untuk membolehkan barang-barang dagangan, perkhidmatan, modal dan pelaburan dan juga faktor manusia seperti tenaga mahir tertentu, bebas keluar masuk antara negara atau ekonomi berkenaan.
Ini juga di sebut sebagai proses liberalisasi. Melalui proses ini, cukai-cukai tertentu sama ada diturunkan atau dihapuskan, peraturan dan syarat memasuki pasaran dilonggarkan.
* Perjanjian-perjanjian yang membentuk kelompok antara negara serantau, yang juga membuka atau membasmi sempadan ekonomi dan geografi. Contohnya di rantau kita sendiri iaitu ASEAN dan juga Asia Timur serta di Eropah iaitu Kesatuan Eropah (EU).
Proses globalisasi dan pembukaan pasaran tersebut telah dan akan secara berterusan, membuka peluang-peluang perniagaan di luar negara dan merentasi sempadan. Pasaran tidak lagi terbatas kepada potensi dalam ekonomi atau negara sendiri, tetapi potensi berniaga dan membuat pelaburan terbuka di negara-negara lain, sama ada di peringkat serantau atau pun global.
Maka para usahawan wajar mengesan peluang yang terbuka itu, supaya dapat dimanfaatkan ekonomi serantau dan dunia tanpa sempadan itu.
Dan jangan pula membiarkan halangan-halangan tertentu menjadi ‘sempadan’ yang menghalang, seperti keengganan mencuba dan menjadi pelopor, sikap tidak mahu mengambil tahu akan peluang-peluang perniagaan di luar sempadan negara sendiri, atau semata-mata menunggu dan melihat sekiranya ada pihak lain yang akan mempelopori.
Dalam suasana dunia tanpa sempadan, peluang-peluang akan hanya dapat dikenal pasti serta dieksploitasi secara menguntungkan oleh mereka yang berusaha untuk:
* Memahami di mana peluang-peluang terbuka, dan bentuk-bentuk peluang bisnes tersebut untuk dikaji secara mendalam, aspek-aspek positif dan negatif, menceburinya.
* Bagaimana untuk menerokai pasaran-pasaran baru tersebut iaitu dari segi sama ada secara milik penuh sendiri, usahasama dan sebagainya.
* Memahami profil pasaran dan pengguna di pasaran baru tersebut, yang mungkin mempunyai ciri-ciri tersendiri dan berbeza dengan profil pasaran di negara kita. Ini bererti tidak boleh digunakan pendekatan-pendekatan yang sama antara satu pasaran atau pun segmen pasaran, dengan yang lain. Memahami perbezaan-perbezaan tersebut akan menentukan penerimaan dalam pasaran baru.
* Mengambil kira unsur-unsur sosioekonomi, kebudayaan dan kelaziman-kelaziman yang pasti mempengaruhi citarasa dan corak permintaan di kalangan masyarakat.
* Mengetahui struktur-struktur sedia ada di pasaran-pasaran tersebut, yang menyokong atau mengawal bisnes seperti perundangan dan peraturan yang berkuat kuasa, pendekatan serta cara-cara urusniaga lazimnya dijalankan, sistem kewangan serta proses-proses yang terlibat untuk mendapat apa jua kelulusan dan kebenaran. Ini akan mengelakkan daripada munculnya tanpa dijangka, apa-apa halangan terhadap perniagaan dan syarikat.
* Menjalin rantaian dan hubungan perniagaan dengan pihak-pihak tempatan, yang boleh membantu dalam usaha menerokai pasaran dan menapak dengan kukuh.
* Memperkukuhkan ketahanan, untuk mampu mengatasi cabaran-cabaran dalam pasaran, serta berjaya kekal di pasaran luar tersebut untuk jangka panjang.
Faktor utama yang telah dan akan terus membasmi dan menghakis semua bentuk sempadan secara global adalah teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT, khususnya melalui Internet serta rantaian-rantaian dan pelbagai aplikasinya.
Melalui rantaian ICT ini, Internet telah menjadi pemudah serta pendorong bisnes merentasi sempadan. Segala maklumat yang diperlukan, besar kemungkinan boleh diperoleh melalui Internet, sama ada mengenai kemajuan di peringkat serantau dan global, dari aspek pembukaan pasaran, perjanjian yang telah dimeterai yang membuka peluang-peluang bisnes dan pelaburan yang baru dan berpotensi, serta maklumat yang membolehkan jalinan atau rantaian perniagaan dibuat, untuk faedah bersama.
Dan yang paling ketara sekarang ialah potensi menjalankan bisnes secara talian atau online, di mana perniagaan boleh dijalankan merentasi batasan ekonomi dan geografi, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan pe­raturan sedia ada.
Pendek kata, Dunia Tanpa Sempadan, dalam konteks bisnes dan perdagangan, memberi ruang dan peluang kepada usahawan-usahawan yang berinisiatif, bermotivasi dan berhemah dalam membuat perhitungan bisnes, untuk memanfaatkan pasaran-pasaran baru di luar batasan pasaran domestik negara kita.
TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 28 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.