Duit kami lebih banyak daripada kerajaan negeri, kata Umno Selangor - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Duit kami lebih banyak daripada kerajaan negeri, kata Umno Selangor

Umno Selangor di bawah kepimpinan ketuanya Datuk Seri Noh Omar ada mekanisme sendiri memberikan bantan kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 November, 2014.

Keputusan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang Selangor yang menolak peruntukan RM200,000 setahun daripada kerajaan negeri tepat kerana peruntukan itu hanyalah dasar populis dan retorik, kata Umno Selangor.

Ahli jawatankuasanya, Datuk Zein Isma Ismail berkata biarlah kerajaan negeri Selangor yang mengagihkan peruntukan berkenaan secara terus kepada rakyat kerana Umno Selangor mempunyai mekanisme sendiri bagi membantu rakyat.

“Kalau saya sendiri pun, saya tak ambil. Kenapa saya mahu ambil duit mereka? Saya ada duit. Duit bukan segala-galanya. Kita ada lebih banyak duit daripada mereka.

"Kita pun bantu rakyat. Mereka berilah pada wakil rakyat mereka. Kalau hendak bantu rakyat, bantulah cara mereka,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Semalam, Adun Barisan Nasional (BN) sebulat suara menolak pemberian peruntukan RM200,000 setahun melalui Program Mesra Rakyat seperti yang diumumkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Mohd Shamsuddin Lias berkata, pemberian itu tidak ikhlas apabila Azmin semasa mengumumkannya menyebut "kalau tak nak, saya tarik balik" sambil memandang ke arah wakil rakyat Umno.

Katanya, peruntukan itu satu penghinaan kepada wakil rakyat Umno kerana tidak mendapat jumlah peruntukan yang sama dengan kawasan DUN Pakatan Rakyat (PR).

Zein berkata Azmin selama menjadi menteri besar Selangor cuba menunjukkan dasar populis walaupun pentadbirannya tidak mempunyai perancangan membela rakyat.

"Masalah Azmin ini, semuanya tentang retorik dan populis. Dia tak ada perancangan bela rakyat. Kenapa nak tunjukkan gimik? Kenapa seorang menteri besar beriya tunjuk hantar kunci (kereta) kepada masyarakat?

"Itu pemimpin apa? Itu gimik, masuk longkang‎, nak orang lain ambil gambar dekat dia. Ini semua politikus kencing,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Shamsudin pada Isnin menerima kereta rasmi daripada kerajaan negeri Selangor sebagai satu insentif menjalankan tugas ketua pembangkang.

Kereta Toyota Camry itu setaraf dengan kenderaan yang diberikan kepada pegawai awam gred 54 beserta pembiayaan bahan api dan tol.

Beliau juga diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan, RM1,367 bayaran gaji pemandu dan RM2,001 bayaran gaji kepada setiausaha kerja.

Mengulas mengenai hasrat Datuk Seri Najib Razak yang mahu Datuk Seri Noh Omar dikekalkan sebagai pengerusi badan perhubungan negeri, Zein berkata Umno Selangor tidak mempunyai masalah.

“Ikut Perlembagaan parti, kuasa melantik pengerusi perhubungan terletak pada presiden. Bila presiden lantik, kita terimalah. Tidak timbul soal terima atau tidak.

“Soalnya dia kena menjalankan tugas. Kita sokong. Bukan kita hendak berbalah. Tiada perbalahan,” katanya.

Ketua Bahagian Umno Subang itu juga mempertahankan Noh untuk menerajui Umno kerana masa yang lebih perlu diberikan kepada ahli Parlimen Tanjung Karang itu.

Katanya, ura-ura yang melabelkan pergolakan sedang berlaku dalam Umno Selangor satu fitnah kerana gerak kerja parti tetap berjalan seperti biasa.

“Cakap memang senang. Adakah mereka benar-benar menjiwai perjuangan parti yang mahu bercakap tentang parti? Nak komen, semua boleh komen. Saya boleh komen mengenai (Barack) Obama, (Vladimir) Putin. Lihat pada realiti.

“Bagaimana mereka boleh menghakimi seseorang dengan hanya beberapa bulan diberikan? Kita memang tidak uar-uarkan program. Kita buat gerak kerja parti.

"Ini bukan soal ngam atau tidak. Tetapi perbezaan pendapat. Ia memang digalakkan dalam perjuangan kita. Apabila keputusan dibuat, kami bekerja sebagai satu pasukan. Tidak timbul semua itu. Ini semua dakyah dan fitnah,” katanya. – 26 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/duit-kami-lebih-banyak-daripada-kerajaan-negeri-kata-umno-selangor#sthash.76SiHt9z.dpuf
0 Komentar untuk " Duit kami lebih banyak daripada kerajaan negeri, kata Umno Selangor "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ