Bantu naik taraf produk PKS - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bantu naik taraf produk PKS

BERCIRIKAN konsep kafe dalam menyediakan makanan sedia dimakan, kedai serbaneka Circle K kini terus memperkukuh rangkaiannya dengan mempunyai 14 cawangan sekitar Lembah Klang selepas hampir setahun beroperasi.

Ketua Pegawai Operasi Circle K (Malaysia) Sdn Bhd (Circle K), Abdul Hady Zabil berkata cawangan pertama dibuka pada 15 November tahun lalu di Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dan mendapat sambutan hebat.

“Circle K merupakan kedai serbaneka 24 jam milik Bumiputera yang berkonsepkan makanan siap untuk dimakan selain menjual barang runcit dan keperluan lain kepada penduduk sekitar.

“Orang ramai boleh datang ke Circle K untuk pilih makanan yang kami sedia dan dipanaskan semula,  kemudian pelanggan boleh makan di meja yang kami sediakan,” katanya ketika ditemui di Circle K cawangan Kampung Sungai Penchala, Damansara baru-baru ini.

Antara makanan sedia dimakan yang dijual di Circle K adalah sandwich, pastri, kek, ais krim jenama Circle K, kopi premium dan lain-lain lagi.

100 cawangan tahun depan

Menurut Abdul Hady, Circle K juga akan membuka cawangan  ke 15  November ini bertempat di Seksyen 9 Shah Alam.

“Kami turut menyasarkan membuka 100 lagi cawangan baru sehingga penghujung 2015 dengan pelaburan RM300,000 hingga RM400,000 setiap cawangan.

“Pembinaan setiap cawangan baru juga akan dinilai mengikut lokasi strategik dan adanya permintaan dari pengguna di kawasan tersebut,” katanya.

Abdul Hady berkata kos pelaburan satu cawangan juga bergantung kepada harga dan jumlah mesin di dalam kedai Circle K seperti mesin ais krim, kopi dan peti sejuk.

“Dari segi lokasi pula kami lebih memberi tumpuan kepada Lembah Klang dan juga negeri seperti Kelantan, Melaka serta yang mana sesuai.

“Tidak ketinggalan kami berharap Circle K mampu memperoleh jualan sehingga RM300,000 setiap tahun dalam tempoh dua ke tiga tahun dari sekarang,” katanya.

3 cawangan paling dapat sambutan menggalakkan

Ditanya mengenai sambutan dari pengguna terhadap Circle K, Abdul Hady berkata terdapat tiga cawangan yang mendapat sambutan paling menggalakkan.

“Pertama adalah cawangan di Saujana Utama, Sungai Buloh yang merupakan kawasan penempatan dan barang-barang runcit kami paling mendapat sambutan di situ.

“Selain itu penduduk sekitar juga turut singgah untuk membeli makanan sedia dimakan kami apabila mereka pulang lewat bekerja,” katanya.

Menurutnya, cawangan kedua mendapat sambutan adalah di Neo Damansara yang ramai dihuni oleh golongan muda dan pelajar antarabangsa.

“Circle K di Skypark Subang turut menjadi perhatian kepada ahli perniagaan dan para pelancong yang mengambil penerbangan dari situ untuk singgah membeli makanan dan kopi premium kami,” katanya.

Rancang perbanyakan produk PKS Bumiputera

Menurut Abdul Hady Circle K turut menjual produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera di dalam kedai serbanekanya itu.

“Saya turut menggalakkan mana-mana pengusaha PKS Bumiputera yang mempunyai produk berkualiti supaya tampil untuk kami memasarkan produk mereka.

“Ini kerana kami ingin membantu menaik taraf produk Bumiputera supaya dapat dipasarkan di lokasi yang ada cawangan Circle K,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan akan datang, Abdul Hady berkata Circle K akan membuka pusat mengedarkan barang ke cawangannya seluruh negara kelak.

“Kami juga akan menambah dapur pusat bagi makanan sedia dimakan selain memperbanyakkan produk makanan untuk pengguna.

“Kami akan sediakan makanan seperti nasi dagang, nasi lemak, dan beberapa makanan pilihan mengikut lokasi atau negeri yang mempunyai Circle K,” katanya.

GST tidak beri kesan

Ditanya mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula April 2015 sama ada memberi kesan atau tidak kepada Circle K, Abdul Hady menjawab tidak.

“Kami berkonsepkan kedai serbaneka yang menawarkan harga produk berpatutan serta memudahkan orang ramai membeli, jadi GST tidak akan menjejaskan kami.

“Kami sudah bersedia menghadapi GST tahun depan dan harga kami masih lagi tidak akan mahal,” katanya.

Abdul Hady berkata Circle K turut menyediakan program latihan industri kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) seperti Kolej Alpha Seremban, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kolej Twintech.

“Mereka akan diberi latihan selama enam bulan dan mereka yang berkualiti akan diserap menjadi kakitangan Circle K,” katanya.

Related Post

0 Komentar untuk " Bantu naik taraf produk PKS "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ