Azam Kerja alternatif untuk miskin bandar - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Azam Kerja alternatif untuk miskin bandar

[VIDEO] MENDAPAT pekerjaan pada waktu sekarang bukanlah semudah yang disangka.

Dengan ratusan graduan yang baru menamatkan pengajian, ditambah pula dengan belia yang masih mencari peluang kerja, lagilah susah untuk seseorang itu mendapat pekerjaan yang diinginkan.

Dalam situasi sekarang, memang nampak sukar untuk bekerja makan gaji. Namun, dengan kewujudan program 1AZAM, salah satu inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, segalanya bukan mustahil.

Nurul Hazra Roslang, 18, peserta AZAM Kerja, yang kini sedang bekerja di La’ Joise Industries (M) Sdn Bhd, Taman Sri Andalas, Klang, Selangor berkata, dia gembira dengan kehidupan sekarang, dapat bekerja dengan baik dan berpeluang membantu keluarga di kampung.

"Bayangkan, saya baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lepas dan terus dapat kerjaya dalam bidang kecantikan.

Terasa seperti mimpi pula," katanya. Menurutnya, sebelum mendapat tawaran sebagai pendandan rambut di La'Joise, dia sememangnya perlu melalui prosedur seperti orang lain.

"Januari lalu, ketika sesi roadshow anjuran JobsMalaysia di Kuala Terengganu, saya mengisi borang secara online bagi program Azam Kerja ini.

"Memandangkan tidak pernah datang ke Kuala Terengganu, ibulah yang menjadi peneman. Walaupun ketika itu, kami berdepan masalah kewangan memandangkan ibu hanya bekerja kampung, namun ibu tidak kisah asalkan saya dapat mencapai apa yang diidamkan," kata anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini.

Selesai mengisi borang, keduanya pulang ke rumah dan menaruh harapan agar pekerjaan yang dimohon berjaya.

Pada Ogos, pihak La'Joise Industries menghubungi Nurul Hazra dan memberitahu tentang perkhabaran gembira tersebut.

"Perasaan saya bercampurcampur. Gembira, terkejut dan macam-macam lagi. Mereka beritahu saya boleh bekerja pada 11 Ogos 2014. "Walaupun bekerja, namun pihak La'Joise memberi peluang untuk saya belajar tentang perkara asas dalam skop dandanan rambut.

Sebanyak RM900 dan komisen diberikan setiap bulan selama empat bulan.

"Alhamdulillah, saya berjaya mendapat kerja dan peluang ini akan digunakan bagi membantu keluarga, terutama ibu yang sudah bergelar ibu tunggal dan hanya bekerja kampung sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Sebagai peserta AZAM Kerja, Nurul Hazra melahirkan rasa bertuahnya kerana mendapat banyak bantuan melalui program tersebut.

"Di sini, semua penginapan dan makan minum ditanggung La'Joise. Setiap bulan saya memperoleh gaji bersih yang telah diberi. "Dengan gaji itu, saya hantar ke kampung dan buat simpanan sendiri. Selebihnya, digunakan untuk membeli keperluan harian.

Memang cukup berbeza kehidupan saya dahulu dengan sekarang. Sebab itu, bila tamat program Azam Kerja ini, saya memasang niat untuk terus menabur khidmat di La'Joise," katanya.

Tempoh 10 tahun adalah sasaran Nurul Hazra untuk buka salun kecantikan kelak. Dia melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan kerana mewujudkan program ini sehingga kehidupan dia dan keluarga bertambah selesa.

Berlainan pula dengan anak kelahiran Selama, Perak, Gaytri A/P Rajanderan, 23, dia dihubungi La'Joise semasa sedang bekerja di butik kecantikan, di Perak ketika itu.

"Setahun saya kerja di butik ini. Gajinya bolehlah cukup makan. Kemudian bila terdengar tentang program Azam Kerja ini, saya terus isi borang secara online. Semuanya kerana ingin mengubah kehidupan saya dan keluarga menjadi lebih baik.

"Saya ada lima beradik dan saya anak kedua. Ayah kerjanya sebagai pemandu lori manakala ibu suri
rumah sepenuh masa. "Bila La'Joise telefon dan minta saya lapor diri, memang saya terkejut dan menangis sekejap. Saya fikir inilah masanya untuk saya bantu keluarga. Pihak majikan janjikan gaji saya sama seperti Nurul Hazra tadi. Bantuan seperti penginapan dan makan minum juga ditanggung mereka. Jadi, untuk apa lagi saya perlu lepaskan peluang keemasan yang sudah ada di depan mata," katanya sambil tersenyum.

Gaytri menyifatkan program AZAM Kerja, yang diterajui oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), ini sangat bagus terutamanya buat golongan belia sepertinya untuk mendapatkan pekerjaan dengan mudah.

Malah, ia juga turut memberikan faedah kepada majikan untuk mendapatkan pekerja, sekali gus mampu menjimatkan masa serta kos mereka.

Kerja keras

La'Joise Industries (M) Sdn Bhd ditubuhkan Jun 2003 dengan kemampuan mengendalikan sebuah salun kecantikan di kawasan perumahan yang terkenal dan padat di Klang, Selangor.

Syarikat diasaskan usahawan wanita berjaya, Joyah Abd Rashid (Joy) yang memiliki dua anak syarikat, La’Joise Spa Beaute & Aromatherapy dan Fizz Beaute & Wellness.

La'Joise merupakan perniagaan berasaskan pati minyak haruman daripada sumber tumbuhtumbuhan herba yang didapati pada bahagian tertentu pokok seperti bunga, daun, kayu, akar dan kulit kayu yang mempunyai definisi aromaterapi iaitu aroma yang bermaksud haruman dan terapi bermaksud rawatan.

Mengenai program AZAM Kerja, Pengurus Besar La'Joise, Wan Adilah Syahirah Wan Jaafar berkata, La'Joise telah terlibat dengan program ini pada tahun lepas lagi dan seramai 26 bekas peserta AZAM Kerja berjaya dilahirkan.

Daripada jumlah itu, sebahagian daripadanya sedang bekerja dengan La'Joise dan selebihnya telah dihantar berkhidmat dengan 46 rakan niaga La'Joise.

Bagi tahun ini, dua peserta AZAM Kerja telah dipilih untuk bekerja di La'Joise dan dari segi personaliti, kedua-duanya cukup rajin bekerja, bersungguh-sungguh dan pandai berdikari.

"Saya melihat Nurul Hazra dan Gaytri mampu menyesuaikan diri dengan kerjaya sebagai pendandan rambut. Mereka rajin bertanya pada
kakitangan La'Joise jika berdepan masalah.

"Dari segi bantuan dan kebajikan mereka, memang kita jaga termasuklah penginapan, makan minum dan gaji.

"Dalam seminggu, ada dua hari mereka perlu mengikuti latihan dan empat hari bekerja di spa. Baki mereka akan bercuti," ujarnya.

Ditanya tentangpemilihan dua peserta AZAM Kerja ini, kata Wan Adilah, mereka dipilih berdasarkan kelayakan dan minat mendalam dalam bidang berkenaan.

"Kami ikut roadshow anjuran JobsMalaysia dan adakan temu duga pada peserta. Banyak permohonan yang kita terima namun kita perlu
pilih yang terbaik. Dan hasilnya, Nurul Hazra dan Gaytri yang bertuah," ujar beliau.

Akhiri Wan Adilah, program AZAM Kerja sangat bagus dan perlu dikekalkan kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh semua pihak.

"Bagi La'Joise, kami amat berharap dapat melahirkan generasi muda yang berkerjaya, berkemahiran dan dapat meningkatkan ekonomi peserta, keluarga dan negara," katanya.

Related Post

0 Komentar untuk " Azam Kerja alternatif untuk miskin bandar "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ