TABUNG Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) menjangkakan melahirkan 40,000 usahawan Bumiputera di seluruh negara pada 2015 berikutan menerima dana pembiayaan tambahan RM500 juta menerusi Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru- baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, jangkaan itu berdasarkan pertumbuhan positif permohonan pinjaman daripada peminjam Tekun sedia ada dan peminjam baharu untuk memperoleh modal dalam bentuk pembiayaan.
Menurutnya, Tekun menyasarkan melahirkan usahawan Bumiputera dalam bidang strategik atau baharu seperti teknologi maklumat, perniagaan berkaitan telefon bimbit dan perniagaan tayar.

“Usahawan Tekun sedia ada kebanyakannya terlibat dalam bidang konvensional. Kami mahu usahawan mempelopori bidang baharu dan golongan muda perlu rebut peluang tersebut,” katanya di Majlis Perjumpaan Presiden Tekun bersama Usahawan Kelab Usahawan Selangor (Kusel), di Shah Alam, semalam.

Abdul Rahim berkata, sebanyak 52 peratus daripada jumlah keseluruhan peminjam Tekun adalah wanita.

“Purata peminjam Tekun terdiri mereka yang berumur 40 tahun ke bawah iaitu sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan peminjam,” katanya.

Katanya, setakat ini, Tekun menyalurkan pinjaman kepada 300,037 usahawan membabitkan pinjaman RM3.22 bilion.
“Negeri tertinggi jumlah peminjam ialah Selangor iaitu seramai 35,263 melibatkan RM480 juta,"  katanya.

Katanya, Tekun akan memudahkan akses pembiayaan dan mempercepatkan pemberian pinjaman kepada peminjam baharu berikutan menerima banyak aduan berkaitan kelewatan pemberian pinjaman.

Di program itu, Tekun menyampaikan pinjaman RM100,000 kepada sembilan ahli Kusel yang juga peniaga di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Shah Alam.