DENGAN tidak banyak publisiti dan hebahan, PIDD atau Pangkor International Development Dialogue sudah melabuhkan tirainya (19-21 Oktober). Nyata ia sama sekali berlainan dengan LIMA atau Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi, yang sinonim dengan Langkawi.

Bagi PIDD, yang mengambil sempena nama Pulau Pangkor, merupakan perhimpunan para pemikir atau kaum intelektual. Ia tidak ada aset bernilai bilion ringgit. Dalam kerangka ini, LIMA pula memperaga aset-aset ketenteraan dan menjadi medan jual beli alat-alat kelengkapan, sama ada membabitkan pesawat udara, maritim dan juga sebagai venue pertunjukan udara.

Lazimnya program berskala begini menarik perhatian media. Peranan media elektronik dalam memberi publisiti dapat dengan sendiri mengangkat status PIDD. Lihat LIMA, seperti disebut tadi, publisitinya saja sangat luar biasa.

Bayangkan RTM atau TV3 terlepas pandang memberi publisiti secara besar-besaran. Saya percaya, kita bakal menyaksikan perubahan mendadak melibatkan menteri atau pengerusi di stesen tv swasta pertama itu.
LIMA adalah projek Kerajaan Pusat dan salah satu produk peribadi mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamed. Sesiapapun penggantinya, keutamaan diteruskan. Bakal mengundang padah jika memandai-mandai menurunkan status dari bertaraf lima menjadi satu bintang.

Melainkanlah jika mantan PM itu sudah tiada atau benar-benar pencen maka jika LIMA berkubur atau ditukar venue atau mendapat nama baru, ia tidak lagi menjadi hal. Kalau Perdana Menteri Najib Razak berasakan dirinya kebal cubalah tukar nama LIMA ke Pekan atau Putrajaya serta mengisytiharkan LIMA 2015, 144 hari dari sekarang, diadakan di Putrajaya atau di Pekan, Pahang.

Bagi kebanyakan rakyat, LIMA merupakan dewan pameran bertaraf open-air. Ia  venue pertunjukan udara, atau kereta kebal dan armada laut serta pada masa sama merupakan pameran aset ketenteraan paling canggih di dunia.

Bagi pemain industri, ia lebih dari sekadar pameran kerana industri ini bagi mereka menjana pendapatan berbilion ringgit. Di LIMA, para pengusaha membuat tawaran dan para pembeli memberi pertimbangan. Contoh dalam LIMA 2013, 24 perjanjian dengan kontrak RM4.271 bilion  ditandatangani.

Ada juga melihat LIMA, yang sudah berusia 23 tahun, hadiah Dr Mahathir pada Kedah, negeri beliau berasal.

PIDD adalah produk baharu yang diperkenalkan Dr Zambry Abd Kadir sebaik sahaja BN kembali merampas Perak setelah 11 tahun diperintah Pakatan Rakyat. Malah bermula 2009 juga adalah era Zambry selaku Menteri Besarnya.

Maka tidak hairan jika MB mahukan ide baru berasaskan sumbangan pemikiran daripada tokoh-tokoh terkemuka. Ia mahu ide mereka dikunyah terlebih dahulu oleh orang ramai sebelum sesuatu dasar digubal. Kerana itu dan berasaskan wawasan ini, pada 2012, PIDD diadakan buat pertama kali.

Ketika itu dihadiri peserta dan pemikir tempatan. Ia tidak gah serta hanya bertaraf lokal. Kemunculan PIDD 2014 jauh lebih signifikan dengan impak yang bakal menimbulkan kesan. PIDD bermula dengan tema, Tadbir Urus Yang Baik Untuk Kemakmuran Inklusif, sesuatu yang dilihat dekat di hati MB.

Beliau yakin Pangkor bakal popular dan PIDD bakal dilihat forum bertaraf dunia hasil ilham rakyat Perak.

Kita tak perlu terlalu teknikal mengulas PIDD kali ini kerana ia terlalu baru dan masih mencari tapak, namun hakikatnya PIDD adalah satu lagi produk yang lahir pada zaman Zambry. Selain itu Yayasan Bina Upaya (YBU), juga ilhamnya menampilkan program kerajaan secara inklusif yang bermatlamat menyusun semula masyarakat serta membasmi kemiskinan tegar.

Bagi pembangkang, YBU hanya program berteraskan politik. Mereka hanya memuji jika ide ini dicetuskan Anwar Ibrahim. Berbanding komen negatif pembangkang, dunia melihat sebaliknya. Baru-baru ini kerajaan negeri dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kewangan Islam Global 2014 yang akan diadakan di Dubai pada 27 Oktober ini.

Zambry melihat anugerah itu sebagai penghargaan terhadap komitmen dan kejayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial Islam di negeri ini.

MB juga melihat PIDD 2014 sebagai forum mengumpul pemimpin, pembuat dasar, pemain industri dan tokoh pemikir dari serata dunia untuk berkongsi idea berkaitan pembangunan sosioekonomi. “Jadi kita mengharapkan dengan adanya PIDD ini, kita akan meletakkan negeri Perak di persada antarabangsa, bukan sahaja di peringkat kebangsaan.”

Sama ada PIDD ataupun YBU, ia bukanlah semata-mata produk politik hanya ilham daripada orang politik yang berwawasan. Tujuannya tidak lain mahu menjadikan Perak sebuah negeri berdaya maju dan berdaya saing serta sebagai kilang para intelek. Pada masa sama ia menjanjikan keselamatan sosial buat rakyat tanpa mengira kelas, bangsa dan agama.

Ketika negara-negara di dunia berdepan kemelut sosial yang kronik, Perak berada di landasan betul. Kita percaya, Zambry bakal mengembalikan imej Perak sebagai pemain utama dalam arus perancangan dan pembangunan ekonomi negeri dan negara.