DEWAN Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya mengambil kesempatan terhadap pelbagai insentif yang ditawarkan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan semalam.

"Ia merupakan bajet pro-perniagaan, yang membantu sektor berkembang dan saya menyeru PKS, yang menyumbang kira-kira 33 peratus kepada keluaran dalam negara kasar, agar merebut pelbagai insentif yang ditawarkan," kata Setiausaha Agung NCCIM  Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshee kepada Bernama.

Beliau berkata pelbagai skim dan insentif diperuntukkan kepada PKS membuktikan kerajaan memberi perhatian untuk memperkasa PKS, dan menambah bahawa kerajaan perlu mewujudkan satu sistem bagi memantau PKS yang telah diberikan geran dan bantuan kewangan sedemikian.  

Sementara itu, syarikat e-dagang Rakuten Online Shopping juga mengalu-alukan peruntukan RM375 juta untuk program SME Investment Partner serta RM2.7 bilion untuk membina 1,000 menara telekomunikasi baru dan meletakkan dasar laut kabel.

"Ia akan menjadi pemangkin penting bagi merangsang industri e-dagang," kata Naib Presiden Kumpulan Pengurusan Wilayah Masaya Ueno.

Ueno berkata inisiatif itu dijangka mempercepatkan penembusan Internet dan memudahkan penggunaan e-dagang serta perkhidmatan internet lain di seluruh negara. - Bernama