BERSETUJU betul saya dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bahasa kebangsaan @ bahasa Melayu belum berjaya berperanan sebagai bahasa perpaduan. Kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan itu, ramai yang masih megah berbahasa Inggeris.
Maka saya dengan megahnya ingin memberitahu bahawa sejak sebelum merdeka, orang kampung saya di Hulu Muar – termasuk yang buta huruf – sudah menggunakan banyak istilah mat salih dalam kehidupan harian.

Antara perkataan Inggeris yang selalu digunakan, terutama ketika musim hujan, ialah ‘mak gad’. Sekiranya basikal tidak ada ‘mak gad’ pasti pakaian kotor sebab lumpur merecik ketika tayar berputar. ‘Mak gad’ ialah daripada istilah asal Inggeris mud guard.

Lain-lain pada basikal yang menggunakan istilah Inggeris ialah ‘hendar’ (handle), ‘karia’ (carrier), ‘brek’ (brake). Basikal dan tayar pun daripada perkataan orang putih bicycle dan tyre. Lain-lain istilah asing yang kerap digunakan pada masa itu ialah ‘gostan’ (daripada bahasa Inggeris go a turn), ‘gohed’ (go a head), ‘bas catar’ (chartered bus).
Hatta, ketika hendak memulakan lumba lari pada acara sukan di sekolah pun saya terdengar cikgu menyebut ‘ayo mat, gesek, gol!’. Selalu juga perkataan itu diteriakkan oleh Tok Ketua apabila ada perlawanan tarik tali di kampung.

Lama setelah masuk sekolah baharulah saya faham kata-kata itu adalah daripada asal Inggeris on your mark, get set, go! Perlu juga diingatkan bahawa di Negeri Kelantan sampai sekarang banyak istilah Inggeris digunakan dalam sembang harian. Antaranya ‘saksobar’ (asal Inggeris shaft absorber), ‘pozik’ (deposit), ‘nnejar’ (manager).

Tentu sekali orang tua-tua di kampung saya dulu boleh dimaafkan jika menggunakan perkataan Inggeris, sebab ketika itu kita belum merdeka dan ada sekian banyak perkataan asing yang belum dimelayukan. Mereka tidak boleh dicap sebagai pengkhianat bahasa.

Setelah lebih setengah abad bebas daripada penjajah, kita masih sengaja menonjolkan perkataan Inggeris, sehingga perkataan asal Melayu dipupuskan. Lebih menyedihkan, pihak yang mengagungkan istilah Inggeris sehingga lenyap langsung istilah Melayu ialah kerajaan sendiri.
Contoh paling mudah, lagi menjolok mata ialah di Putrajaya, Pusat Pentadbiran Kerajaan, apabila perkataan-perkataan seperti parcel, precinct, dan boulevard diguna pakai untuk menggantikan ‘kawasan’, ‘jalan’ dan ‘dataran’.

Sekiranya pihak berkuasa sendiri megah dengan istilah asing, apa yang hendak kita kesalkan jika ada orang memperlekeh bahasa kebangsaan? Lagi contoh: Jika disebut PDDP tidak ada siapa yang tahu, sebab kita terbiasa dengan PWTC @ Putra World Trade Centre.
Malu dan aib sangatkah untuk menyebut Pusat Dagangan Dunia Putra? Kenapa KLCC, dan tidak PBRKL (Pusat Bandar Raya Kuala Lumpur)? Kenapa KLIA, dan tidak LTAKL? Hatta, isu paling penting yang heboh didebatkan setiap hari sekarang, iaitu cukai barangan dan perkhidmatan pun disebut oleh semua, termasuk para menteri Melayu, sebagai GST.
Apa salahnya sebut CBP? Muhyiddin juga tidak senang dengan sesetengah pihak sengaja memilih nama-nama yang tidak bercitra kebangsaan untuk taman perumahan, kawasan dan gedung perniagaan atau institusi.

Di Kuala Lumpur menonjol sangat bangunan-bangunan memakai nama asing. Pantang tinggi sikit terus guna perkataan tower, maka sana-sini bertower-tower. Pemilik bangunan malu menggunakan perkataan ‘menara’ atau ‘puncak’, konon istilah-istilah Melayu itu tiada nilai komersial.
Kalau tidak tower, banyak pula perkataan lain daripada bahasa Inggeris yang digunakan pada bangunan komersial seperti height, square, avenue, view, crest, dan lain-lain. Konon dengan nama-nama Inggeris itu KL hendak disetarafkan dengan London, Paris, New York.

Nama-nama kawasan taman perumahan dan kediaman mewah pun terikut-ikut keinggerisan. Pantang ada kawasan berair – walau hanya besar sedikit dari londang kerbau – terus diberi nama Lake View Garden. Waima Kampung Kerinci pun ditukar kepada Bangsar South.

Maka jangan terkejut kalau satu hari nanti Kampung Datuk Keramat ditukar nama menjadi KL East! Agaknya orang kita malu hendak menggunakan nama yang bercitra kebangsaan sehinggakan tempat-tempat yang telah lama terkenal dengan nama asal pun perlu disebut ala-ala Inggeris.

Sebab itulah Pantai Teluk Mok Nik di Kemaman, Terengganu, terus dipromosikan sebagai Monica Bay. Memang kedengaran lucu. Tetapi insaflah, menghapuskan citra kebangsaan bukan perkara gurauan!