PETALING JAYA: Bekas Mufti Besar Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan di dalam Facebook miliknya bahawa pemimpin yang baik tidak akan berkempen kepada kerosakan.
Katanya, sekalipun jika dia merokok, dia tidak akan berkempen tentang rokok, sebaliknya kejujuran akan mendesaknya untuk memberitahu ataupun mengakui bahaya rokok kepada rakyatnya.
“Inilah sikap pemimpin yang jujur tanpa mengira latar agama dan budaya. Arak adalah sesuatu yang merosakkan.
“Ia diakui oleh semua pihak. Kerajaan United Kingdom (UK) terpaksa membelanjakan jutaan pound saban tahun untuk menangani kesan arak terhadap rakyatnya terutama pada malam-malam cuti,” tulisnya di dalam laman Facebook.
Jelasnya lagi, bagaimana mungkin ada pemimpin politik di dalam negara ini berkempen tentang pesta arak dan atas apa budaya dan lojik kebaikan untuk rakyat?
“Walaupun Islam akur hak bukan muslim untuk meminum arak, tapi berkempen dengan cara yang terbuka kepada pesta arak yang merosakkan tidak dapat diterima oleh Islam dan mana-mana akal yang rasional,” jelas beliau lagi.
Bahkan, jika ada pemimpin politik berkempen untuk arak atas dasar demokrasi, ternyata dia tidak memahami apakah tujuan manusia memilih demokrasi.
“Demokrasi untuk kehidupan yang lebih baik bukan sekadar memuaskan kehendak sesuatu pihak tanpa mengira baik dan buruk,” jelasnya. - FMT
0 Komentar untuk " Pemimpin yang baik tidak berkempen mempromosi pesta arak "