PEMBERIAN e-baucar sebanyak RM1,000 daripada SME Corporation Malaysia kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat membantu meningkatkan jumlah pendaftaran bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Penolong Kanan Pengarah Kastam bahagian GST, Rozila Saad berkata bantuan yang diberikan itu bertujuan menarik dan membantu mereka untuk membuat persediaan pembelian perisian perakaunan cukai tersebut.

"Pihak Kastam menyaksikan pertambahan jumlah pendaftaran daripada kalangan PKS berikutan pengenalan insentif tersebut," katanya kepada pemberita semasa Seminar Komprehensif GST, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata jumlah PKS yang telah memohon e-baucer hanya boleh dirujuk kepada SME Corp.

Menurutnya, e-baucar dilihat sebagai bantuan yang kondusif dalam memastikan sistem percukaian ini berupaya dilaksanakan dengan lebih lancar.

Dalam Bajet 2015 kerajaan telah memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah RM150 juta kepada PKS untuk memudahkan pembelian perisian perakaunan GST yang akan dilaksanakan April tahun depan. - Bernama