ALOR SETAR - Kerajaan digesa mengambil langkah segera untuk merealisasikan Hospital Pendang yang sepatutnya siap dibina pada Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, alasan kerajaan bahawa ia akan menambah beban hutang jika meneruskan pembinaan hospital itu adalah tidak munasabah kerana projek itu adalah keperluan rakyat.

Beliau berkata, alasan itu hanya menunjukkan kegagalan kerajaan melakukan perancangan dengan teliti sebelum mengumumkan sesuatu projek untuk dilaksanakan.

“Hospital Pendang sepatutnya diselesaikan dalam RMK-10 dan bajet baru-baru ini adalah yang terakhir. Tetapi kerajaan mendakwa hospital ini akan selesai jika dimasukkan dalam RMK-11.

“Rakyat Pendang memerlukan hospital tetapi ditangguhkan. Ini adalah kelemahan yang ketara. Nak tunggu berapa lama lagi,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, tanah yang yang dicadangkan sebagai tapak hospital mula ditumbuhi pokok liar dan semakin menjadi hutan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan projek  Hospital Pendang bakal bermula tidak lama lagi setelah ia disahkan tersenarai dalam RMK-11.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya bahawa ia akan diteruskan tanpa menunggu RMK11 dengan menggunakan kaedah ganti tanah dengan bangunan (landswap).