KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja. – Gambar hiasan
SEJAK laporan yang menyatakan bahawa tiga bank di Malaysia akan bergabung, tumpuan penganalisis ekonomi terarah kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Isunya bukan setakat KWSP tidak dibenarkan mengundi dalam cadangan penggabungan tiga bank tersebut tetapi lebih daripada itu. Adakah penggabungan berkenaan akan menguntungkan pencarum dari segi dividen yang bakal dipulangkan kepada mereka? Atau, jika penggabungan tidak berjaya sekalipun adakah pencarum masih boleh menikmati dividen yang baik?
Pokoknya, dalam mana-mana situasi pun, pencarum sudah tentu ingin mengetahui sejauh manakah manfaat yang akan mereka peroleh hasil daripada pelaburan KWSP.
Ini kerana terdapat laporan yang mengatakan bahawa negara kita berkemungkinan bakal menghadapi krisis persaraan. Usah pandang remeh dengan laporan sebegini. Ini kerana jika negara terjebak dengan krisis persaraan, kesannya cukup besar terhadap ekonomi negara.
Bayangkan ramai pesara tidak mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi selepas lima tahun bersara. Wang yang disimpan dalam KWSP tidak mencukupi untuk menanggung kehidupan mereka sehingga akhir hayat. Sedangkan jangka hayat penduduk Malaysia, baik lelaki mahupun perempuan semakin panjang.
Krisis persaraan ini akan semakin meruncing apabila Malaysia bergelar ‘negara tua’ pada masa akan datang. Ini kerana dijangkakan majoriti rakyat Malaysia pada masa hadapan terdiri daripada golongan berusia yang mana sekarang ini majoritinya golongan muda.
Apabila lebih ramai warga tua, maka, lebih ramailah yang akan terjebak dalam krisis persaraan. Lebih teruk lagi, kos perubatan yang tinggi terpaksa ditanggung mereka. Natijahnya, akan timbullah isu-isu lain terhadap warga tua seperti menjalani kehidupan melarat yang akhirnya kerajaan sendiri terpaksa membiayai mereka dengan kos yang lebih besar lagi. Tidak mustahil, pada masa itu, lebih banyak peruntukan dalam bajet negara untuk menanggung kehidupan warga tua Malaysia.
Jadi, bagaimana untuk menangani isu ini? Adakah wajar kerajaan menjadi sebuah negara kebajikan sebagaimana negara-negara barat? Kalau ingin bergelar negara kebajikan, sudah tentulah cukai pendapatan terpaksa dinaikkan. Sanggupkah rakyat Malaysia membayar cukai tinggi dalam keadaan kos sara hidup yang menekan? Sudah tentu tidak! Lagi pun menjadi negara kebajikan akan menyebabkan produktiviti rakyat Malaysia menurun. Ambil contoh negara-negara yang mengamalkan konsep negara kebajikan berpaksikan Laporan Beveridge 1942.
Konsep negara kebajikan secara tidak langsung menggalakkan rakyat tidak mahu bekerja. Kos kehidupan tetap disara oleh kerajaan. Dalam jangka masa panjang, tidak mustahil, keadaan ekonomi semakin parah. Bagi rakyat yang bekerja keras, mereka terpaksa membayar cukai yang tinggi semata-mata menanggung rakyat yang tidak mahu bekerja.
Sudahlah kerajaan terpaksa menanggung pencen pesara kerajaan yang saban tahun semakin meningkat, timbul pula krisis persaraan melibatkan pesara sektor swasta. Dalam konteks ini, kita perlu memahami kerajaan juga mempunyai kekangan kewangan tersendiri. Selain terpaksa membayar gaji semasa penjawat awam, kerajaan juga terpaksa menanggung pencen pesara kerajaan.
Sebab itulah, apabila adanya permintaan untuk menaikkan gaji, setiap daripada kita perlu mengetahui kenaikan tersebut bukan setakat memberi kesan kewangan jangka masa pendek kepada kerajaan tetapi juga kerajaan terpaksa menanggung sepanjang hayat pesara kerajaan. Namun, sebagai sebuah kerajaan yang menjaga kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana kos sara hidup tinggi, sewajarnya tuntutan kenaikan gaji dipenuhi. Tetapi sudah tentu bukan semua tuntutan mampu dipenuhi. Kalau tidak, akan terjadi masalah kepada kewangan negara sebagaimana yang berlaku kepada Greece. Semuanya tertakluk kepada kedudukan sebenar kewangan kerajaan. Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi sentiasa menjadi agenda utama untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.
Namun, itu masih belum mampu menangani krisis persaraan yang dijangkakan berlaku pada masa akan datang di Malaysia. Bagi pesara kerajaan, masalah kewangan yang timbul tidaklah seteruk pekerja swasta yang bergantung sepenuhnya terhadap simpanan KWSP. Sebab itulah, krisis persaraan ini lebih ke arah pekerja sektor swasta. Maka, bagaimana caranya menangani isu ini? Dalam konteks ini, peranan KWSP cukup penting. Dengan dana berjumlah RM612.41 bilion, KWSP sewajarnya membuat pelaburan yang memberi pulangan tinggi kepada pencarum.
Setakat ini, dividen KWSP tidak menghampakan pencarum. Dalam keadaan ekonomi yang begitu kompetitif, pilihan pelaburan perlu dibuat secara berhemah berasaskan pertimbangan kepakaran ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan tertinggi KWSP. Pulangan tinggi boleh menampung kekurangan wang persaraan pencarum namun masih belum mencukupi untuk menangani krisis persaraan secara menyeluruh.
Maka, sudah sampai masanya kerajaan bersama dengan pihak lain meneliti isu jaringan keselamatan sosial dengan lebih menyeluruh mengikut keadaan negara kita. Sistem jaringan keselamatan sosial yang diamalkan di negara-negara lain tidak sewajarnya diguna pakai secara total kerana kelemahannya yang tersendiri selain ia perlu disesuaikan dengan keadaan dalam negara kita.
Untuk mengukuhkan lagi kewangan bakal pesara sektor swasta, potongan KWSP untuk bahagian majikan perlu dinaikkan mengikut tempoh bekerja. Lagi lama bekerja, lagi tinggi caruman majikan, tanda penghargaan majikan ke atas pekerja. Dengan cara ini, majikan boleh membantu kerajaan dalam menangani isu krisis persaraan yang bakal dihadapi oleh rakyat. Krisis ini tidak akan mampu ditangani tanpa adanya sokongan majikan selain pencarum yang sentiasa bertanggungjawab menyimpan wang dari awal bekerja untuk menampung kehidupan selepas bersara sehingga akhir hayat.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia
0 Komentar untuk " Menangani krisis pencen "