KUALA LUMPUR - Walaupun asas ekonomi Malaysia kekal baik berbanding negara-negara serantau, lebih banyak langkah mungkin diperlukan untuk menangani isu-isu seperti kadar hutang isi rumah yang tinggi, kata seorang pakar ekonomi.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd Nor Zahidi Alias berkata langkah-langkah yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2015 untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan adalah ke arah yang tepat.
"Secara keseluruhannya, Bajet 2015 merupakan usaha mengimbangi antara menangani ketidakseimbangan ekonomi seperti defisit bajet dan menyokong rakyat untuk menghadapi kesan daripada langkah-langkah yang bertujuan untuk mengurangkan ketidakseimbangan ini," katanya.

Bagaimanapun, perniagaan dan pengguna mungkin akan merasakan kesan daripada pertumbuhan ekonomi domestik lebih perlahan pada 2015 kerana tekanan harga lebih kukuh dan pertumbuhan kredit yang lembap, kata Nor Zahidi.

"Bantuan tunai kepada golongan berpendapatan rendah akan sedikit sebanyak membantu mereka pada masa ini," katanya.

Nor Zahidi menegaskan bahawa perkara utama untuk memastikan perlindungan pengguna terhadap kemungkinan kenaikan harga adalah penguatkuasaan yang betul Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

"Walau apa pun, sektor luar yang lebih rancak pada 2015 boleh mengimbangi kelemahan ekonomi domestik," katanya.

Ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi baik meskipun dengan apa yang dilalui selepas kemelesetan besar pada 2009, Nor Zahidi berkata Malaysia mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada separuh pertama 2014, tertinggi dalam kalangan negara-negara Asean.

Ketidakseimbangan ekonomi seperti defisit bajet perlahan-lahan berkurangan dan pertumbuhan telah pulih dengan kadar inflasi secara relatifnya stabil walaupun meningkatkan dalam tiga suku yang lepas, katanya. -Bernama