UCAPAN Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 26 September lalu, yang berani dan lantang menolak ekstremisme dan keganasan, khususnya IS (yang mendakwa kononnya negara Islam) mendapat maklum balas menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa.

Ucapannya mantap kerana beliau mengartikulasinya dengan dua penghujahan penting. Pertamanya, memberikan definisi yang jelas tentang makna sebenar negara Islam, iaitu menegakkan keadilan ekonomi, politik dan sosial; dan memenuhi enam objektif undang-undang Islam: hak untuk hidup, beragama, berkeluarga, harta, kehormatan dan intelek – hak yang sama seperti dalam deklarasi hak asasi manusia PBB; yang tidak dilakukan IS.

Dan keduanya, menjelaskan bahawa Islam adalah agama keamanan dan menghargai kewujudan-bersama, termasuk semasa kesusahan. Contohnya, Rasulullah SAW melayan dengan baik 70 orang tentera musuh yang ditawan dalam perang Badr.

Ini contoh baik pendirian pemimpin Islam menyuarakan pendapat Islam di tengah-tengah krisis antarabangsa. Beliau mempunyai kredibiliti membahaskannya kerana Malaysia contoh negara Islam yang mengamalkan pendekatan kesederhanaan dengan berjaya. 

Menghapuskan IS adalah satu bab. Tetapi, kita perlu mengambil langkah jangka panjang untuk memerangi keganasan.

Dalam konteks ini, GMM akan bekerjasama dengan Strata Research (pimpinan Dr Maszlee Malik) mengadakan siri perbincangan meja bulat tentang “kesederhanaan sebagai pendekatan politik dan governans Islam kontemporari”. Ia akan diadakan pada November dan Disember ini.

Matlamatnya ialah memperkukuhkan pendekatan kesederhanaan dalam bidang politik dan governans dalam kalangan umat Islam. Ia bertujuan memberikan panduan tentang pelaksanaan politik dan governans Islam, iaitu sebagai penyelesaian jangka mangsa panjang terhadap masalah keganasan seperti IS. 

Kandungan perbincangan akan meliputi: integriti institusi-institusi politik dan kerajaan, kerangka governans inklusif, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif.

Siri perbincangan ini akan melibatkan tokoh-tokoh pemikir dan aktivis dari beberapa buah negara yang mempunyai pengalaman menggunakan pendekatan kesederhanaan dalam bidang politik dan governans. Contohnya, Indonesia, Tunisia, Turki, Magribi dan Malaysia sendiri.

Ini penting kerana pemimpin dan masyarakat Islam perlu secara berterusan menerjemah dan melaksanakan politik dan governans yang berasaskan Islam (berteraskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah) yang bersesuaian dengan realiti baru hari ini (ICT/media sosial, kesedaran/gerakan baru sosial dan tahap ketiga demokrasi yang mementingkan partisipasi rakyat).

 Pelaksanaan politik dan governans ini mestilah dijalankan dengan inklusif, demokratik, adil dan saksama, bukan sahaja bersama dan untuk umat Islam, tetapi adalah bersama dan untuk semua rakyat, termasuk mereka yang bukan beragama Islam. Ini menepati ajaran Islam iaitu ia adalah rahmat bagi semua.     

Selagi kerajaan Islam tidak mengamalkan politik dan governans yang berlandaskan Islam, dan mengambil kira realiti baru hari ini, lalu menghasilkan negara Islam (seperti yang dinyatakan Perdana Menteri itu), maka, selagi itulah akan wujud ketidakpuasan dalam kalangan sebahagian rakyatnya.
Begitu juga sebaliknya, sekiranya wujud ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan, maka, mereka perlu digalakkan menggunakan pendekatan berlandaskan premis yang sama (yang dinyatakan di atas), dan bukannya secara ekstrem dan ganas.

Tetapi, perbincangan ini bukanlah kayu sakti. Ia mungkin tidak dapat menghentikan sepenuhnya keganasan atas nama Islam. Perekrut pengganas menggunakan naratif lain. Mereka mencari bakal pengganas yang memiliki ciri-ciri personaliti yang khusus.

Apa yang perbincangan ini dapat lakukan ialah menyediakan alat dan sumber untuk cara yang lebih baik – kesederhanaan – bagi melakukan sesuatu; dan merenggangkan hubungan antara pengganas dengan penyokong dan mereka yang bersimpati dengannya.

Pokoknya, kita perlu mengetengahkan naratif yang lebih baik daripada mereka.

# Saifuddin Abdullah (twitter: @saifuddinabd) ialah CEO Gerakan Kesederhanaan Global (GMM)