Pendirian yang jelas mengutamakan kerakusan nafsu berbanding kesucian institusi keluarga disuarakan majoriti daripada keseluruhan 26 orang anggota Majlis Etika Kerajaan Jerman.
Campur tangan oleh majlis etika itu dilakukan berikut kes membabitkan Patrick Stuebing dan Susan Karolewski adik-beradik yang hidup sebagai pasangan suami isteri. Pasangan itu memiliki empat orang anak, dua daripadanya mengalami kecacatan dan seorang lagi memerlukan pemindahan, jantung.
Stuebing didakwa atas kesalahan sumbang mahram pada tahun 2008 dan menjalani hukuman tiga tahun penjara. Rayuannya kepada European Court of Human Rights (ECHR) untuk mendapatkan hak kehidupan berkeluarga pada tahun 2012 tidak berjaya.
Hubungan seksual antara adik-beradik atau antara ibu bapa dengan anak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 173 Kanun Jenayah Jerman. Undian yang dibuat pada 24 September lalu menyaksikan 14 anggota majlis etika tersebut menyokong pemansuhan Seksyen 173 itu berbanding sembilan orang anggota lagi membantah.
Anggota majlis yang mengkaji semula keputusan mahkamah dan menyokong pemansuhan tersebut menekankan bahawa undang-undang jenayah tidak digubal untuk menguatkuasakan standard moral atau menentukan batasan bagi hubungan seksual yang dilakukan oleh warga negara atas kerelaan sendiri.
Syor yang dikemukakan oleh anggota majlis tersebut segera mendapat bantahan daripada ahli politik tertentu. Alasan yang diberikan ialah pemansuhan undang-undang yang melarang hubungan sumbang mahram akan memberikan isyarat yang salah.
Ini kerana pemansuhan hukuman bagi perlakuan sumbang mahram dalam sesebuah keluarga bertentangan dengan usaha yang diambil untuk memelihara kelancaran perkembangan kanak-kanak.
Apa yang sedang berlaku di negara yang penduduknya melebihi 80 juta orang itu tidak lebih daripada kesesatan yang diakibatkan oleh sekularisasi. Sebagaimana pernah ditegaskan oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, penafian terhadap kekekalan nilai dalam akal dan perlakuan manusia merupakan salah satu komponen utama sekularisasi. Penafian ini seterusnya menyebabkan sikap manusia terhadap semua nilai menjadi relatif.
Justeru, manusia dianggap bebas untuk mencipta perubahan nilai tersebut dan menghilangkan nilai-nilai yang bersifat mutlak. Pandangan alam sekular berpegang sepenuhnya pada akal rasional manusia dalam menghuraikan segala persoalan. Perkara ini menurut beliau merupakan pendewaan manusia.
Pendirian Islam terhadap per­kah­winan sesama saudara atau adik-beradik adalah pasti dan tidak berubah sama sekali. Penegasan al-Quran terhadap larangannya ber­kekalan sejak mula kitab suci itu ditanzilkan sehinggalah hari kiamat.
Allah SWT berfirman, “Diharamkan kepada kamu berkahwin de­ngan (wanita-wanita yang berikut): ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu….” (Surah al-Nisa’, ayat 23). Larangan ini sudah tentu bertujuan memelihara kemaslahatan manusia umumnya dan menghindarkan mereka daripada kemudaratan.
Kemaslahatan yang dipelihara syarak melalui larangan ini ialah pengukuhan institusi keluarga, peluasan hubungan kekeluargaan, dan perkembangan keturunan yang baik. Syariat menetapkan peraturan terperinci berhubung pasangan yang boleh dikahwini atau sebaliknya kerana ia berkaitan dengan perwalian dan pembahagian harta pusaka.
Kemudaratan yang mahu dihindarkan syarak daripada menimpa manusia ialah haru-biru dalam institusi keluarga dan kemusnahan keturunan. Sumbang mahram dan perzinaan terbukti menghancurkan institusi keluarga dan menggugat kelangsungan keturunan yang merupakan salah satu matlamat utama syariah (maqasid al-syariah) atau kepentingan yang wajib dipelihara.
PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Oleh Wan Roslili Abd. Majid