SEBENTAR lagi saudara-saudara kita yang sedang menunaikan ibadah haji akan melaksanakan salah satu rukun daripada ibadah ini iaitu wuquf di Arafah.

Saya tertarik bila membaca surah Al-Hajj di dalam al-Quran. Satu-satunya surah yang dinamakan dengan nama ibadah yang tergolong di kalangan rukun-rukun Islam iaitu ibadah haji.

ALLAH memulakan firmanNya di dalam surah ini dengan mengingatkan akan perihal dahsyatnya apabila berlakunya Hari Qiamat sehinggakan memperumpamakannya; ibu yang menyusukan anak melupainya dan ibu yang mengandung gugur kandungannya kerana terlalu dahsyat.

Kedahsyatan Hari Qiamat ini digambarkan sebahagiannya di dalam ibadah haji khususnya ketika wuquf di Arafah. Begitulah keadaan manusia kelak apabila dibangkitkan di Padang Mahsyar sementara menunggu untuk dihisab di hadapan ALLAH.

Di dalam ayat 41 surah Al-Hajj ALLAH menyebut pula berkait dengan politik. Bahawa pemerintah yang diredhai oleh ALLAH adalah pemerintah yang menjaga hubungannya dengan ALLAH dan menjaga kebajikan rakyat yang berada di bawah pemerintahannya serta melaksanakan peraturan yang menggalakkan rakyat berbuat baik dan mencegah kemungkaran.

Di sini menunjukkan bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam bahkan ianya adalah satu ibadah yang mendapat pahala jika sekiranya mengikut lunas-lunas syarak bukannya menjadikan hawa nafsu sebagai asas.

Di Hari Qiamat kelak bukan sahaja orang yang bersolat, berpuasa, menunaikan zakat dan haji akan dimasukkan ke dalam syurga begitu juga pemimpin dan ahli politik yang mengikut landasan agama akan beroleh ganjaran yang sama bahkan lebih daripada itu lagi pemimpin yang adil golongan pertama yang akan berada di bawah naungan ALLAH di Padang Mahsyar kelak sebagaimana yang tsabit di dalam hadis yang sahih.

Itulah hubung kait yang menghubung dan menjalinkan ketiga-tiga perkara yang menjadi asas yang sangat penting di dalam agama Islam ini.

Perbanyakkan doa dan istighfar, tingkatkan ibadah dan ketaatan di masa yang penuh dengan keberkatan ini.


Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia