DASAR Automotif Negara (Dan 2014) menyasarkan 430 vendor tempatan akan menjadi vendor antarabangsa menjelang 2020 agar dapat memasuki rangkaian bekalan automotif dunia. Bagi merealisasikan peningkatan pencapaian vendor, Institut Automotif Malaysia (Mai) menghasilkan pelbagai program transformasi sejajar dengan peningkatan amalan 'Lean' dan juga penggunaan teknologi terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mai, Mohamad Madani Sahari berkata, Mai akan mengadakan program Dialog Meja Bulat Sistem Pengeluaran Lean (LPS) di Cyberjaya, 30 Oktober ini.

“Program ini akan memperlihatkan keupayaan vendor dalam menggunakan amalan 'Lean' untuk melancarkan proses operasi kilang.

Lebih daripada 150 vendor dijangkakan akan menghadiri program tersebut.

“Terdapat lima klasifikasi taraf kemampuan dikenali sebagai Supplier Competitiveness Level (SCL) yang mengukur kemampuan sesuatu vendor dalam menghasilkan komponen kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Madani berkata, kejayaan mentransformasikan vendor ke taraf SCL itu akan menghasilkan jumlah eksport komponen automotif negara sekitar RM10 bilion menjelang 2020.

Setakat ini, purata vendor automotif tempatan berada di taraf SCL 2, hanya sekadar mempunyai peralatan dan kemampuan mengeluarkan komponen di bawah panduan dan tunjuk ajar kilang pengeluaran kenderaan yang membekalkan semua reka bentuk spesifikasi komponen.

Bagaimanapun katanya, beberapa vendor tempatan mencapai taraf SCL 3 yang mana mereka akan diberi perhatian ke arah pencapaian taraf SCL yang lebih tinggi.

Bagi mencapai matlamat proses transformasi itu Hala Tuju Pembangunan Rangkaian Bekalan diwujudkan.

Salah satu program yang disarankan ialah konsep Amalan Terbaik.

“Terdapat enam peringkat peningkatan dan pembangunan di bawah konsep ini: pelan perniagaan, kecekapan operasi, kecekapan sumber manusia, perkembangan perniagaan, pemasaran dan peningkatan aktiviti eksport,” katanya.

Katanya, Mai memperkenalkan dua program iaitu LPS yang mana satu sistem kualiti menggunakan pendekatan mengenal pasti punca dan membasmi pembaziran, sama ada pembaziran bahan mahu pun aktiviti yang tidak bernilai. Program itu diadaptasi dari konsep Sistem Pengeluaran Toyota.

“Program kedua ialah Penanda Aras yang dikenali sebagai Automotive Supplier Excellence and Improvement Programme (Asep) yang mana membuat perbandingan taraf pencapaian semasa dari sudut operasi pengilangan, teknikal, kemampuan sumber manusia, pengurusan kewangan dan lain-lain lagi oleh vendor tempatan bersama vendor terbaik negara maju seperti Jerman dan Korea.

“ASEP akan mengenal pasti jurang ketinggalan di antara kedua-duanya. Hasil perbandingan di buat mengenal pasti kelemahan dan seterusnya program pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Setakat ini, industri automotif tempatan memiliki 11 kilang pengeluaran dan pemasangan kereta dan sembilan kilang pemasangan motosikal. Keperluan komponen perusahaan automotif tempatan ini disokong kira-kira 800
vendor. Sektor ini juga menyumbang kira-kira 300,000 pekerjaan.

Industri kecil dan sederhana (IKS) berperanan menghasilkan komponen kenderaan dalam rangkaian bekalan automotif tempatan dan sebahagian vendor pembekal komponen bersaiz sederhana masing-masing menghasilkan perolehan tahunan antara RM30 hingga RM50 juta.

Hasil keluaran kebanyakan dibekalkan kepada rangkaian bekalan tempatan dan sebahagian dieksport yang berjumlah sekitar RM5 bilion setahun.