KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang membangunkan sistem teknologi maklumat (IT) pembahagian subsidi bahan api RON95 yang masih di peringkat cadangan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali berkata, ia bagi melancarkan pembahagian subsidi minyak mengikut pendapatan apabila dilaksana kelak.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM4 juta untuk membangunkannya melibatkan lebih 1,300 stesen minyak seluruh negara.

“Kami menjangkakan pelaksanaan pembahagian subsidi ini menimbulkan masalah terutamanya di kawasan luar bandar yang susah dapat perkhidmatan internet,” katanya mengulas pembahagian subsidi mengikut pendapatan seperti diumumkan Timbalan Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kelmarin.

Basaruddin berkata, KPDNKK sedang melihat model pembahagian subsidi mengikut pendapatan yang sesuai bagi menghalusi kekangan dihadapi.

“Pada masa sama kita dapat maklum balas daripada orang ramai berhubung pembahagian subsidi mengikut pendapatan individu,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Husni berkata, rakyat Malaysia berpendapatan RM10,000 sebulan ke bawah akan menikmati sebahagian subsidi minyak bermula tahun depan, sementara mereka  berpendapatan RM5,000 ke bawah akan menikmati subsidi penuh.

Basaruddin berkata, KPDNKK juga merancang untuk membangunkan kaedah alternatif selain dijalankan secara atas talian online.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 April 2015, Basaruddin berkata, KPDNKK sudah bersedia 100 peratus  untuk menghadapinya.

“Setakat ini, KPDNKK melatih 400 pegawai penguatkuasa untuk menangani masalah ketika GST dilaksanakan. KPDNKK juga mempunyai Skuad Pengguna seramai 200,000 yang ditubuhkan bertujuan membantu dalam melaporkan menangani peniaga yang mengambil kesempatan selepas GST dilaksanakan,” katanya.