KUALA LUMPUR - Kajian pembangunan 'Bandar Raya Belia' perlu memberi fokus kepada membina lebih banyak rumah mampu milik bagi golongan belia yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
  
Presiden Syarikat Perumahan Negara Berhad Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata kajian dari segi kemampuan kewangan belia perlu diutamakan dan rumah yang bakal dibina mestilah berharga di bawah RM250,000.
  
"Cadangan mewujudkan bandar raya belia ini membawa mesej bahawa kerajaan akan menawarkan banyak rumah mampu milik kepada golongan belia dan ia mestilah turut memenuhi keperluan gaya hidup mereka," katanya kepada Bernama, hari ini.
  
Katanya, dari segi keperluan gaya hidup, bandar raya belia haruslah mampu menyediakan semua kemudahan asas termasuk kemudahan kesihatan, persekolahan dan pengangkutan awam dengan harga berpatutan.
  
Beliau berkata antara perkara lain yang perlu dikaji, ialah keperluan untuk menyediakan rumah mampu milik yang besar dan mempunyai banyak bilik memandangkan golongan belia majoritinya baru berkeluarga.

"Pada peringkat umur mereka yang mempunyai keluarga kecil ini tidak memerlukan rumah yang besar, memadai jika hanya mendiami rumah dengan dua bilik tidur sahaja," katanya.
  
Menurut Kamarul Rashdan, kawasan sasaran pembangunan bandar raya belia ini pula mestilah mengambil kira faktor jarak antara tempat kerja dan kediaman mereka kelak.
  
Katanya, banyak belia bekerja di kawasan bandar utama, maka pembangunan yang bakal dibina seharusnya tidak begitu jauh dan mestilah mempunyai jaringan pengangkutan awam yang baik supaya memudahkan mereka ke tempat kerja.
  
Sabtu lepas, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kajian terhadap idea untuk membangunkan bandar raya belia akan dimulakan tahun depan bagi mengenal pasti lokasi dan saiz bandar serta kemudahan yang akan disediakan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii berpendapat, bandar raya belia perlu dibangunkan dengan ideal merangkumi komposisi kaum yang seimbang dalam kalangan rakyat Malaysia.
 
"Pembangunan bandar raya belia ini mestilah berpaksikan kepada komposisi ideal rakyat Malaysia, maksudnya kena ikut komposisi kaum iaitu 60 peratus Melayu, 25 peratus Cina, 10 peratus India dan lain-lain kaum 5 peratus," katanya.
  
Katanya, pembahagian berdasarkan komposisi kaum ini penting bagi mengembalikan semula semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat dan bukan hanya tertumpu kepada satu kaum di sesebuah tempat sahaja.
  
Beliau berkata, faktor harga mampu milik dan keselesaan rumah yang ditawarkan juga perlu ditekankan dalam membangunkan bandar raya belia ini. - Bernama