APA agaknya yang tidak kena? Setelah lebih setengah abad merdeka, kita masih bercakap tentang perpaduan kaum. Sudah sekian lama bebas daripada penjajah orang putih, kita macam tidak percaya, dan saling mencemburui antara satu dengan lain.

Maka, teringat saya zaman kecil dulu-dulu, tidak ada pun masalah perkauman. Budak-budak Melayu, Cina dan India main bersama seperti adik-beradik. Pantang tidak bersekolah kami main guli tidak kira waktu. Kalau musim gasing, sama-sama memangkah dan kena pangkah.

Waktu sekolah sama-sama ke kantin, ramai-ramai ke padang untuk bersukan. Malah, boleh kencing setandas, sambil saling komen-mengomen, saling memerhati dan membandingkan alat pemancut masing-masing.

Dia pandang saya punya dan berkata: “Haiyaa, lu punya sudah banyak besar, apa pasal belum potong? Itu potong nanti ada sakit ka?” Saya pun pandang dia punya dan komen bebas: “Wahhh, lu punya banyak kecik, sekali kena sunat habis hoo!”

Tidak kira siapa punya lebih besar atau lebih panjang, kita menerima hakikat, dan tidak langsung berasa hati. Ada ketikanya perihal pendek-panjang, besar-kecil itu boleh dihebohkan dalam bilik darjah sementara menunggu cikgu datang.

Meski macam adik-beradik, kita menghormati cara hidup dan agama masing-masing. Saya tahu kawan India tidak makan lembu. Kawan Cina faham saya Islam, tidak makan babi. Tetapi, di kantin kita boleh duduk semeja makan bekalan yang dibawa dari rumah.

Kalau bawa kari lembu, terutama musim korban, tidak pernah saya mempelawa rakan India sebab faham dia tidak makan lembu. Kawan Cina yang membawa daging babi salai warna merah pun tidak pernah kata: “Lu nak rasa sikit ke, banyak siyok maa...!” Pendek kata semua faham dan saling menghormati.

Musim Tahun Baharu Cina, kita sama-sama ke rumah kawan-kawan Cina, sama-sama mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’. Opah tidak menghalang, tetapi memberi amaran keras: “Engkau boleh makan kuaci, kacang dan limau, minum air oren. Jangan makan yang lain.”

Opah takut betul saya terlibat dengan benda-benda berbabi, “masuk neraka nanti engkau!” Bersalam dengan ayah dan ibu kawan-kawan Cina pun tidak boleh sebab “dia orang makan babi, sentuh tangan dia pun tak boleh!”

Tetapi tidak pula opah pertikaikan apabila saya menunjukkan dia angpau berisi 50 sen pemberian keluarga kawan-kawan Cina. Tentu opah tahu sampul merah itu juga dipegang dan disentuh oleh tangan makan babi.

Apabila masuk universiti, saya bercampur dengan lebih banyak rakan bukan Melayu. Mula-mula memasuki alam pekerjaan, hingga hari ini, rakan-rakan bukan Melayu saya semakin ramai, macam-macam warna, beraneka bentuk hidung. Tidak ada masalah.

Hanya semenjak dua menjak ini kemesraan dan keharmonian yang saya bina sejak berpuluh tahun lalu, kelihatan semakin terhakis, hari demi hari. Kita nampaknya sudah tidak seperti satu keluarga. Pantang tersentuh sikit, terus dicap sebagai rasis.

Pantang terlepas cakap, walaupun hanya satu perkataan, kita akan dituduh menghina kaum.

Jika tersilap menyebut perkataan ‘k’, termasuk perumpamaan Melayu ‘karam k...’ atau ‘pisang k...’ kita boleh disaman. Sebab itu Pantai ‘Tanjung K’ di Melaka terpaksa ditukar nama.

Hari-hari orang bukan Islam membuat ‘posting’ dalam internet menyentuh hal-hal sensitif bangsa Melayu juga agama Islam. Ramai telah diambil tindakan di bawah Akta Hasutan.

Orang Melayu pun sumpah seranah bukan Melayu ikut suka hati. Orang bukan Islam kompelin diganggu azan Subuh dari masjid. Orang Melayu komplen bunyi bising dari kuil dan tokong.

Ada kumpulan-kumpulan berdasarkan kaum, sesetengahnya didalangi parti politik, yang kerjanya pagi petang siang malam hanya mencerca kaum dan agama lain, sehingga menjadi polemik dan isu panas dalam media.

Zaman saya budak-budak dulu tidak ada caci-maki berbentuk perkauman. Semua harmoni secara semula jadi, tidak perlu kempen-kempen, tidak perlu lagu-lagu khas.

Sekarang nampak benar politik telah memecahbelahkan kita. Walaupun lagu ‘Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’ dialunkan sepanjang musim merdeka, kita terus berpecah.

Zaman dulu-dulu opah hanya bimbang pada babi, takut anak-cucu tersentuh atau termakan benda haram itu. Zaman sekarang politik nampaknya lebih teruk dari babi.