IKUT hati, rasa mahu sahaja guna banyak lagi perkataan untuk menggambarkan kekecewaan dalam kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu lalu, bukan sekadar ‘memalukan’ seperti yang diluahkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi saya dan saya yakin bagi ramai lagi pembaca budiman, kebocoran itu mengejutkan, mengecewakan, merugikan dan menjejas imej negara.

Justeru, golongan pelesit yang mengkhianati amanah, membocorkan soalan-soalan UPSR itu mesti dikenakan hukuman paling berat. Jangan kompromi dan jangan maafkan mereka.

Malah, tindakan paling berat perlu juga diambil ke atas sesiapa sahaja yang melakukan sebarang bentuk penyelewengan berkaitan peperiksaan awam selepas ini kerana tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab itu menjejaskan mutu pendidikan,
masa hadapan rakyat dan imej negara.

Entah apa mereka dapat; barangkali kepuasan atau duit haram, tetapi memang sesuai sangat golongan yang tidak memegang amanah ini digelar pengkhianat.

Akibat tindakan golongan ini, bayangkan betapa hampir setengah juta calon UPSR di seluruh negara perlu tunggu hingga hujung bulan ini untuk menduduki peperiksaan kertas Sains dan Bahasa Inggeris.

Tidakkah mereka yang membocorkan soalan-soalan UPSR itu terfikir akibat perbuatan mereka betapa traumanya anak-anak kita yang baharu berusia 12 tahun itu kerana setelah bersengkang mata belajar, dan bersiap sedia,tiba-tiba tidak dapat menduduki
peperiksaan pada tarikh yang dijadualkan?

Tidakkah golongan yang membocorkan soalan-soalan itu bersimpati dengan murid-murid yang, akibat perbuatan tidak amanah mereka, mungkin hilang fokus dan semangat untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan?

Tidakkah mereka terfikir betapa kecewa dan marahnya ibu bapa, guru-guru dan mereka yang bertungkus-lumus untuk melihat calon-calon UPSR lulus apabila berlaku kebocoran itu?

Bayangkan perasaan ibu bapa yang sudah bersusah payah memberi yang terbaik dengan menghantar anak masing-masing ke kelas tambahan untuk mencapai keputusan terbaik.

Tetapi, disebabkan tindakan segelintir pelesit yang curang semata-mata untuk mencapai kepentingan diri, proses peperiksaan di seluruh negara musnah.

Apa yang berlaku ini sangat-sangat tidak adil kepada murid-murid yang tidak berdosa ini. Pelesit yang buat hal untuk kepentingan diri, anak-anak kita jadi mangsa. Ini bukan kali pertama kebocoran soalan peperiksaan berlaku di negara kita.

Kita difahamkan kebocoran soalan Sains dan Bahasa Inggeris Rabu lalu berlaku melalui media sosial.

Pelik sungguh bagaimana boleh berlaku kebocoran sebegitu mudah sedangkan segala tindakan wajar dan kawalan ketat sudah diambil pihak Lembaga Peperiksaan dan lain-lain yang terlibat.

Tidak ada orang yang tidak tahu  bahawa kesan buruk daripada kebocoran soalan peperiksaan, tidak kiralah UPSR, Sijil Tinggi Persekolahan atau Sijil Pelajaran Malaysia, adalah meluas dan serius.

Selain daripada mengakibatkan trauma dan prestasi calon-calon peperiksaan, penangguhan akibat kebocoran soalan-soalan peperiksaan juga pasti melibatkan kos yang besar yang sepatutnya tidak berlaku jika tidak berlaku kecurangan dan
penyelewengan.

Calon-calon perlu ulang kaji dan bersiap sedia sekali lagi sedangkan mereka sepatutnya sudah boleh berasa lega dan berehat, ibu bapa terpaksa korban masa, cuti dan wang untuk susun semula jadual harian supaya sesuai dengan tarikh baru peperiksaan anak masing-masing.

Bayangkan segala persiapan perlu disusun semula oleh pihak terlibat untuk mengadakan peperiksaan yang melibatkan beribu-ribu sekolah di bandar dan luar bandar di seluruh negara, termasuk kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak.

Bayangkan kos mencetak kembali kertas soalan, kos pengedaran, pembayaran kepada pihak yang menghantar kertas soalan dan yang menguruskan peperiksaan.

Pihak berkuasa tentu sedang meneliti kemungkinan kurang kawalan ke atas sistem digital di dunia serba canggih ini menjadi punca kebocoran soalan peperiksaan.

Dahulu, kertas soalan dibuat dan diedarkan secara fizikal. Hari ini barangkali hampir semua proses membuat dan mengedarkan soalan-soalan peperiksaan menggunakan kemudahan komputer.

Maknanya, kerja mengawal kebocoran kini menjadi lebih rumit dan kebocoran menjadi mudah.

Hanya dua cara barangkali yang boleh mengurangkan, kalau pun tidak terus menghapuskan risiko kebocoran ini; teknologi yang lebih canggih dan kakitangan yang betul-betul amanah.

Kalau tidak, kebocoran seperti yang berlaku itu dikhuatiri berulang. Wallahualam!