SIFAT Islam itu ialah mendukung etika rahmah alamiah iaitu rahmat bagi sekalian alam. Sifat Islam juga adalah agama damai, membawa risalah dakwah untuk semua. Islam bukan monopoli sesuatu kaum atau bangsa.

Islam datang ke negara China dan India jauh lebih awal dari Islam datang ke alam Melayu. Jumlah penganut Islam di China dan India jauh lebih besar daripada orang Melayu Islam di Malaysia.

Al-Quran memberikan landasan Laqum deenukum walyadeen – kamu agama kamu dan kami adalah agama kami. Setiap agama ada hal-hal yang baik dibawanya.

Cuma perbezaan pokok ialah aspek akidah, iaitu kepercayaan terhadap Tuhan. Islam menyeru ke arah keyakinan kepada Tuhan yang Satu, iaitu ALLAH.

Dalam situasi Malaysia Islam berada di tengah-tengah masyarakat majmuk. Orang Cina menganut faham Buddha dan Kongfuzi, orang India menganut faham Hindu dan orang Kadazan dan Iban menganut faham Kristian dan lain-lain.

Berada di tengah-tengah masyarakat majmuk yang punyai aliran anutan  berbeza tidak harus menjadi masalah. Orang Islam umpamanya jika menganut Islam dalam erti kata yang sebenarnya bakal menjadi orang yang baik, amanah, adil, bertolak ansur, faham akan perbezaan dan persamaan.

Orang Islam dalam masyarakat majmuk harus bersedia mengadakan dialog untuk membina persefahaman supaya kecurigaan orang lain tidak terjadi.

Sesuatu yang diamalkan berasaskan syariat umpamanya harus dapat diperjelaskan kepada orang lain.

Mengapa contohnya orang Islam dilarang berjudi dan minum arak. Dua sumber ini boleh menyebabkan kerosakan kepada diri dan keluarga sebab Islam menjaga kepentingan diri dan keluarga.

Menghabiskan masa di meja judi dan mabuk akibat arak adalah tidak baik dalam membina sebuah keluarga yang sihat. Penulis percaya penganut agama lain yang mengamalkan ajaran mereka pun tidak akan bersetuju dengan amalan judi dan arak.

Mengapa Islam sangat mementingkan sifat adil dan amanah. Ia penting kerana ibu bapa yang adil dan amanah terhadap pendidikan watak anak-anaknya bakal mempunyai keluarga yang baik.

Antara keluarga yang baik ini akan ada anak-anak mereka yang bakal menjadi pemimpin dalam pentadbiran, negara dan masyarakat.

Sekiranya watak adil dan amanah sudah dipupuk sejak kecil, keadilan tidak saja untuk orang Islam tetapi juga harus berlaku terhadap yang bukan Islam.

Orang Islam juga dididik supaya berilmu dan berketerampilan. Ilmu dan keterampilan adalah penting supaya ia menjadi suluh untuk mencari kebenaran dan cara bagaimana sesuatu itu dilaksanakan dengan baik.

Imej Islam yang sempurna kepada orang Islam adalah baik bagi yang bukan Islam. Sekiranya orang Islam memiliki pekerti buruk seperti pembohong, hipokrit, oportunis ia bakal merosakkan orang Islam sendiri malah yang bukan Islam juga.

Sebagai makhluk sosial orang Islam tidak saja berinteraksi dengan orang Islam tetapi juga dengan bukan Islam. Sekiranya interaksi berlaku dengan baik tidak saja masyarakat Islam menjadi baik tetapi bukan Islam juga dapat manfaat daripadanya.

Sebab itu orang Islam harus melakukan pekerti contoh yang baik dan teladan yang berguna kepada bukan Islam dalam apa perkara pun supaya perbezaan agama tidak jadi penghalang untuk melakukan penampilan.

Sekiranya yang ditampilkan dalam percakapan adalah yang baik, perbuatan dan amalan baik juga, Islam bakal dilihat sebagai agama yang fitrah dan alamiah sifatnya. Ia tidaklah mudah tetapi menjadi tanggungjawab setiap orang Islam melakukannya kerana memang sifat Islam  sebagai agama risalah membimbing umat.