Derhaka, durhaka kepada raja - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Derhaka, durhaka kepada raja

SEHINGGA kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor yang berpanjangan itu, saya telah lama tidak mendengar atau membaca perkataan derhaka atau durhaka digunakan. Pada generasi muda, durhaka adalah perkataan kuno, tidak lazim diguna lagi.

Ia bermakna tidak setia kepada Raja yang sah – dalam konteks ini terhadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Walaupun saya bukan ahli bahasa, terjemahan oleh setengah pihak, derhaka bermakna treason, itu, saya kira, tidak tepat. Satu kamus kecil melakukan demikian.

Ibu kamus kecil itu pula memberi makna ini; “perbuatan khianat terhadap raja, negara dan bangsa bisa dihukum demikian (pengkhianatan, treasonable)”.

Apa pun derhaka boleh juga diterima sebagai makna ingkar kepada perintah ALLAH SWT, curang kepada isteri/suami; menentang, memberontak terhadap kerajaan yang sah.

Maka para nabi diutus ke bumi kerana derhaka dan penyelewengan ummah; Malim Kundang derhaka kepada emaknya. Mereka yang derhaka kepada ibu bapa akan menerima balasan pahit dan buruk di akhirat kelak.

Pembaca yang familiar dengan kisah Abdullah bin Saba tahu dia telah memainkan peranan yang besar dalam penderhakaan terhadap Saidina Othman. Ada satu peribahasa Melayu yang saya teringat; “anak kunci jahat, peti derhaka!” meaning/maknanya – suami yang jahat (curang lambat-laun akan ditentang atau ditinggalkan oleh isterinya).

Pengacau, pembelot, pengkhianat dan penderhakaan lumrah dalam politik, kerajaan, bisnes, swasta, dunia pendidikan seperti berlakunya kebocoran yang memalukan yang bukan berlaku kali pertama dan kali ini pula pada kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris.

Perkara buruk ini berlaku dalam keluarga pun. Justeru, awas kehadiran sabotaj diam-diam dalam Pilihan Raya Kecil Dun Pengkalan Kubor seperti juga dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Mereka yang menganggap raja Melayu sebagai raja catur salah hisab. Preceden di Perlis, Terengganu, Perak, Pahang, Johor, Kelantan dan sekarang di Selangor membuktikan bahawa raja-raja Melayu bukan senapang buluh. Ada juga raja yang pintar!

Menoleh ke belakang... 38 tahun silam cerita Almarhum Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan tatkala itu Yang di-Pertuan Agong dan saya. Ini adalah kisah yang belum saya tulis atau menzahirkan dalam apa bentuk pun. Satu cerita yang sahih dan ramai yang tahu cerita ini masih hidup lagi; ada sudah melebihi usia 80an, ramai dalam 70an dan saya kira mereka berani berdiri atau seperti kata mat salih - stand up to be counted.

Cerita ini hanya dikisahkan kepada saya setelah saya dibebaskan daripada tahanan ISA -diISAkan 1976 – 1981 – semasa saya mengambil ijazah sarjana di Cambridge Universiti di St Johns College, alma mater Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim, Pengasas
dan Dekan Pertama Fakulti Undang-undang Universiti Malaya dan ramai lagi luminaries atau tokoh yang berpengaruh tetapi tidak berapa terkenal.

Beberapa ketika selepas saya diISAkan, didorong mahu mengukuhkan sebab penahanan saya “mereka yang tertentu ”menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Yahya memujuk baginda untuk menarik anugerah Datuk saya yang dikurniakannya kepada saya tahun 1971. Tuanku, dengan tegas, mengikut sumber sahih bertitah: “Dato Dollah tidak derhaka kepada saya atau negerinya Kelantan dan watannya Malaysia.

Jangan peralatkan saya kerana semata-mata untuk memperkukuhkan lagi hujah penahanannya.” Apabila Tuanku Yahya mangkat, saya telah menganjurkan solat ghaib jenazah di kem tahanan Kemunting yang dihadiri semua TAPOL (tahanan politik) Islam
dalam blok saya dan dormitri Profesor Syed Husin Ali yang diimamkan oleh Abdullah Majid, ahli ketiga cerita dongeng “Tiga Abdul”.

Beberapa tahun kemudian, Raja Perempuan Zainab ke-II, iaitu bekas Permaisuri Agung dan balu Almarhum Tuanku Yahya dan puteri-puterinya berkenan mencemar duli ke pondok saya di Ampang Hilir Kuala Lumpur. Baginda mengulangi ketegasan Almarhum sambil berkata dalam loghat Kelantan, “Jah..hat nok suruh kito (Tuanku Yahya Petra) dega kecek demo.” Di mana mereka ini sekarang?

Ada telah mati, ada yang masih hidup, ramai menghadapi dan mengalami berbagai masalah peribadi dan keluarga. ALLAH SWT maha adil dan saksama telah pun tunjuk dalam dunia lagi keseksaan fizikal dan batin mereka berkenaan.

Pendek kata, pokoknya; jangan fitnahkan orang, jangan aniaya orang, jangan mereka-reka tuduhan atau diada-adakan kerana perbuatan itu jelik dan dosa besar. Antara pemfitnah terbesar adalah dua tiga anak Kelantan sendiri! Termasuk orang yang banyak saya tolong - menaikkan pangkat mereka dan membawa mereka ke tempat-tempat istimewa yang elit yang hanya ahli sahaja dapat menikmati kemudahan-kemudahan di tempat itu.

Sebenarnya mereka ini munafik dan zindik.

Mujurlah tidak kesampaian apa yang mereka kejar itu. Syukur kepada Ilahi. Jika tidak mereka ini - yang boleh diperangi mengikut agama kita – akan membawa porak-peranda kepada agama, bangsa dan tanah air.

0 Komentar untuk " Derhaka, durhaka kepada raja "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ