DALAM kita mendengar rintihan peniaga kaki lima, tahukah kita beberapa peniaga kaki lima adakala beruntung bahkan boleh memperoleh pendapatan lumayan seperti orang makan gaji.

Misalnya seorang peniaga kaki lima tempatan yang enggan namanya dikenali ini bercerita. Hanya berniaga di kaki lima dia mampu membuka kiosk perniagaan dalam tempoh setahun selepas berniaga.

Menurutnya, dia yang berniaga kerepek serta kuih sekitar kaki lima Shah Alam hampir dua tahun mampu memperoleh pendapatan sekitar RM500 ke RM1,000 sehari.

“Kebiasaannya kalau hujung minggu memang boleh dapat pendapatan sekitar RM1,000 tetapi hari biasa sekitar RM500," katanya.


Kaki lima tak perlu modal besar

Ditanya mengapa memilih berniaga di kaki lima dia berkata, berniaga di kaki lima tidak memerlukan modal yang besar.

“Jika kita menyewa kedai sudah pasti kena ada modal yang besar dan juga perlu bayar sewa tinggi setiap bulan dan membebankan bagi yang ingin mula berniaga.

“Saya pernah buka kedai makan dulu tetapi tak menjadi dan gulung tikar. Sebab itu saya berniaga di kaki lima buat masa ini,” katanya.


Berharap hasilkan produk dan buka kedai sendiri

Setiap peniaga mengimpikan perniagaan mereka maju. Begitu jugalah penjual kerepek ini  yang merancang membuka kedai sendiri.

“Saya berharap dalam masa terdekat mampu membuka kedai sendiri dan juga mengeluarkan produk buatan kami.

“Saya sudah ada pengalaman berniaga dan juga modal cuma belum masanya lagi kerana ia memerlukan perancangan rapi,” katanya.

Menurutnya, kerepek dan kuih yang dijualnya di kaki lima akan berbeza setiap minggu bagi memberi kelainan kepada pembeli.

“Itu merupakan strategi saya untuk menarik pembeli,’ katanya.

Dalam pada itu, kebanyakan kerepek dan kuih yang dijualnya bermula dari RM8 hingga RM80 mengikut paket dan berat dan kerepek pisang merupakan paling laris.