PENGANJUR Halal Fiesta Malaysia (Halfest), Shapers Malaysia Sdn Bhd (Shapers Malaysia) bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam usaha untuk membantu mengenal pasti syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mempunyai sijil halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Mohd Shukri Abdullah berkata, hanya 10 peratus daripada produk tempatan yang halal adalah daripada syarikat milik orang Islam.

“Kebanyakan usahawan yang tidak dapat sijil halal adalah usahawan kampung atau luar bandar yang tidak mempunyai kilang dan kemudahan sepatutnya.

“Oleh itu, Shapers dengan kerjasama KKLW percaya keadaan ini boleh diubah,” katanya berhubung Halfest 2014 pada  3 hingga 7 September ini di Pusat Pameran Mines (MIECC) Seri Kembangan.

Menurutnya, dengan usahasama kementerian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Cimb Islamic,  Halfest ini akan bantu mereka mengenal pasti apakah punca dan masalah yang dihadapi untuk mendapatkan sijil halal.

Katanya, pihaknya akan cuba membantu usahawan luar bandar untuk menaik taraf kilang dan cuba berbincang dengan Jakim bagi menyokong usahawan yang tidak mempunyai sijil halal.

Mohd Shukri berkata, Shapers turut merancang untuk meletakkan usahawan yang tidak mempunyai sijil halal tetapi boleh dinaik taraf dalam satu inkubator pada tahun depan di pameran Halfest sebagai salah satu cara membantu mereka mendapatkan sijil halal.

Sementara itu, mengulas berhubung Halfest 2014 yang bakal berlangsung bulan depan, Mohd Shukri berkata, tahun ini dijangka transaksi jualan bernilai RM10 juta berbanding RM13.6 juta tahun lalu bagi produk syarikat PKS.

“Dari segi pengunjung, kami menyasarkan menarik 70, 000 pengunjung dengan disertai oleh 600 tapak pameran daripada syarikat tempatan.

“Daripada jumlah itu, 83 peratus adalah syarikat makanan dan minuman, penjagaan diri lapan peratus, kosmetik tiga peratus, logistik satu peratus dan herba tiga peratus,” katanya.

Halfest 2014 akan disertai 80 peratus syarikat PKS. Manakala, 20 peratus lagi syarikat besar seperti Nestle dan Yeo’s.