Ubah konsep negara: Konspirasi atau rekaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ubah konsep negara: Konspirasi atau rekaan




1. Kewajipan umat Islam adalah melaksanakan Islam secara syumul menyeluruh. Dari situlah datangnya kewajipan untuk memastikan kewujudan negara yang berlandaskan Islam kerana sebahagian syariat tidak mampu dilaksanakan tanpa satu kuasa politik.
2. Di pihak yang memusuhi Islam pula, kewujudan negara Islam sebegitu adalah satu mimpi ngeri mereka. Kewujudan negara Islam bermaksud hajat mereka untuk menentukan polisi dan dasar negara supaya menyebelahi maslahat mereka akan terkubur. Islam adalah agama yang tidak menerima hakimiah selain Allah dan tidak menerima rujukan lain daripada al-Quran dan Hadis.
3. Usaha untuk menukar konsep negara Islam adalah perjuangan yang sentiasa wujud sejak dulu hinggalah ke hari ini. Allah menerangkan permusuhan Yahudi dan Nasrani terhadap umat Islam hanya akan berhenti dengan umat Islam rela untuk memilih rujukan lain dari al-Quran dan Hadis. Firman Allah:
 “….dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka mampu (melakukan yang demikian)…” (al-Baqarah: 217)
Apabila golongan Yahudi dan Nasrani memperjuangkan maslahat mereka, mereka tidak akan berhenti sehingga umat Islam menukar rujukan hidup dan rujukan negara.
4. Sedikit lakaran apa yang berlaku dalam sejarah menunjukkan usaha mengubah konsep negara Islam ini memang berlaku secara sungguh-sungguh. Lihat apa yang berlaku kepada negara Islam Melayu Champa yang telah bertukar kepada negara Buddha Vietnam. Lihat apa yang berlaku kepada kerajaan Islam Melayu-Siam Ayuthya yang bertukar kepada kerajaan Buddha Thailand. Lihat juga nasib kerajaan Melayu Islam di kepulauan Filipina yang telah bertukar kepada kerajaan Kristian. Lihat nasib kerajaan Islam Melayu Singapura yang telah menjadi satu negara Cina tanpa agama. Di bahagian yang jauh dari alam Melayu, lihat apa yang berlaku kepada Andalus Islam yang sekarang menjadi Sepanyol Kristian. Sejarah moden pula menyaksikan perubahan konsep negara di Nigeria dan penubuhan negara baru Kristian iaitu Sudan Selatan. Lihat juga Palestin yang sehingga hari ini masih diusahakan untuk lenyap sepenuhnya dan menjadi Israel Yahudi. Dan begitulah seterusnya sehinggal ke hari kiamat kelak. Pertarungan ini akan sentiasa wujud. Firman Allah:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar.” (al-Baqarah: 120)
5. Malaysia yang dulunya digelar Tanah Melayu juga mengalami proses yang sama. Pertarungan di dalam menentukan konsep negara adalah satu yang berjalan secara berterusan sejak dulu hinggalah ke hari ini.
6. Apabila Portugis menakluk pelabuhan Melaka, jika mereka cuma berminat terhadap perdagangan, mereka akan hanya menumpukan perdagangan. Tetapi kenapa mereka merobohkan masjid? Kenapa mereka mengorek kubur orang Islam dan memusnahkannya? Batu-batu nisan dan batu dinding masjid ditanam di dalam tembok A Famosa. Kenapa semua itu jika bukan untuk membina satu imej baru bagi Melaka? Belum dicampur dengan kisah Francis Xavier dan latar belakang serangan itu sendiri.
7. Begitu juga ketika Belanda datang dan menakluk Melaka, polisi yang dikenakan ke atas Melaka tidak langsung menunjukkan minat mereka untuk berniaga di Melaka. Bandar Melaka dimusnahkan. Pedagang luar dilobi untuk ke pelabuhan Batavia dan bukan ke Melaka. Apa yang mereka buat di Melaka? Mereka menterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu untuk sebaran di kalangan kaum Melayu yang beragama Islam. Apa tujuannya jika bukan untuk menyebarkan Krsitian ke dalam masyarakat kaum Melayu? Bukankah itu juga strategi untuk merubah konsep negara?
8. Kedatangan penjajah British pula adalah satu sejarah yang panjang. Kita tahu cubaan mereka untuk menubuhkan Malayan Union yang akan menjadikan Tanah Melayu tunduk sepenuhnya kepada Queen England. Kita telah saksikan bagaimana mereka memperdaya sultan-sultan Melayu untuk turut bersetuju. Ketika rancangan itu tidak berjaya, British telah menggubal pula Perlembagaan 1948, perlembagaan yang telah mencairkan kedudukan Islam dan Melayu. Di masa yang sama sebahagian British pula bersekongkol dengan Cina untuk membantah perlembagaan tersebut dan mengemukakan People Constitution (Perlembagaan Rakyat) yang menghapuskan terus kedudukan Islam dan Melayu dalam negara. Tidak cukup dengan itu, kumpulan Cina AMCJA melancarkan Hartal. Pejuang Melayu yang terkeliru telah turut serta di dalam Hartal dengan bilangan yang sedikit.
9. Dari situ dua konsep negara telah saling bersaing antara satu sama lain; konsep Tanah Melayu Untuk Orang Melayu dan konsep Malaya for Malayan. Malayan ketika itu bermaksud orang yang duduk di Tanah Melayu tanpa mengira kaum.
10. Konsep Tanah Melayu Untuk Orang Melayu bermaksud mengekalkan Tanah Melayu sama seperti sejarahnya sebelum penjajahan iaitu sebagai sebuah kerajaan Islam Melayu, ditadbir oleh pemerintah Islam Melayu dalam sistem beraja yang menjadikan Islam sebagai asas kenegaraan.
11. Konsep Malaya for Malayan pula bermaksud Tanah Melayu adalah milik bersama oleh sesiapa sahaja yang tinggal di dalamnya. Tidak ada keistimewaan tertentu untuk orang-orang Melayu. Semua dikongsi bersama dan hala tuju juga akan ditentukan bersama. Kedudukan Raja Melayu dan Undang-undang Tubuh Negeri yang memberikan kedudukan kepada Islam tidak menjadi relevan di dalam konsep tersebut.
12. 1957 Tanah Melayu merdeka dengan Perlembagaan 1957. Perlembagaan itu memberikan hak keistimewaan kepada Melayu dan kedudukan tinggi kepada Islam. Walau pun negara tidak sepenuhnya kembali kepada konsep asalnya sebelum penjajahan, asas yang ditinggalkan di dalam Perlembagaan boleh digunakan untuk menyempurnakan kedudukan Islam dan Melayu tersebut. Berlaku toleransi antara kaum, bahkan pemerintahan negara juga adalah dalam bentuk perkongsian kuasa.
13. Apabila Singapura memasuki Malaysia pada 1963, PAP mempromosikan slogan Malaysian Malaysia di seluruh Malaysia. Slogan itu adalah jelmaan konsep Malaya for Malayan, kandungannya sama walaupun namanya berbeza. Jika Malaya for Malayan hanya satu konsep yang tidak dapat diletakkan pada tuan tertentu secara khusus, Malaysian Malaysia pula adalah konsep bertuankan PAP dan dikemukan dalam bentuk yang lebih tersusun. Apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, berlaku penubuhan DAP setelah semua cawangan PAP di Malaysia ditutup. DAP juga memperjuangkan konsep kenegaraan yang sama.
14. Dengan berakhirnya rusuhan 13 Mei 1969, konsep Malaysian Malaysia seolah-olah sepi untuk satu tempoh yang panjang. Negara dikukuhkan dengan konsep Melayu Islam. Tetapi apabila masuk hujung 90an, slogan Malaysian Malaysia muncul kembali. Daripada situ berlakulah siri-siri tuntutan IFC, tuntutan Dong Zong, tuntutan Menteri-menteri bukan Islam, tuntutan Suqiu dan sebagainya. Protes terhadap kontrak sosial diterjemahkan di dalam pilihan raya ke 12 pada 2008. Selepas itu tuntutan demi tuntutan agar ada perubahan pada konsep negara terus berlaku.
15. Jika kita meneliti segala yang pernah berlaku di dalam lipatan sejarah Malaysia, kita akan melihat betapa konsistennya tuntutan-tuntutan agar konsep negara ini diubah. Apa yang berlaku hari ini adalah kesinambungan daripada usaha lama yang panjang.
16. Apa yang orang bukan Islam minta sekarang melalui Comango jika bukan untuk mengubah beberapa perkara di dalam Perlembagaan yang menghalang maslahat mereka? Kenapa mereka bersungguh menuntut penggunaan kalimah Allah di dalam terbitan keagamaan Kristian berbahasa Melayu mereka jika bukan untuk tujuan Kristianisasi? Apa yang mereka mahu daripada permohonan agar sebuah kuil di Kelang dijadikan landmark pelancongan Malaysia jika bukan untuk membina imej baru bagi Malaysia? Kenapa mereka mempromosikan Pulau Jerjak dengan nama Pulau Mazu kepada pelancong asing? Kenapa mereka mendakwa Lembah Bujang bukan sejarah orang Melayu, penduduk asal Kedah? Kenapa mereka mengatakan orang Melayu tidak ada asal usul dan merupakan kaum pendatang? Kenapa mereka melobi agar titah Sultan tidak terpakai?
17. Apa tujuan deraf Harmony Bill? Dan sebelumnya, apa tujuan cadangan deraf preamble Perlembagaan? Terbaru, apa tujuan penubuhan Negara-Ku? Tidak lain hanyalah agar negara ini bangun dengan dasar dan konsep yang lain dari Islam. Nama yang berbeza tapi pejuangnya adalah orang yang sama. Bahkan intipati tuntutan juga adalah sama.
18. Umat Islam harus peka dengan apa yang berlaku. Jangan sesekali bersikap naif dan tidak mampu melihat percaturan di belakang setiap tuntutan dan pergerakan itu. Ayat yang disusun cantik jangan sesekali mengelabukan kita daripada pergerakan mereka di belakang. Umat Islam wajib mempertahankan status negara sebagai sebuah negara Islam. Wajib juga ke atas umat Islam untuk membawa negara ke arah yang lebih baik praktik keislamannya.
19. Cubaan untuk menjauhkan negara dari ruh dan falsafah Islam adalah merupakan satu jenayah dan dosa di sisi Allah. Amat tidak wajar ada umat Islam yang bersekongkol menjauhkan negara daripada Islam. Kewajipan umat Islam sebenarnya adalah menyambung perjuangan datuk neneknya dahulu di dalam mengukuhkan Islam dan bukan sebaliknya.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden ISMA
http://www.ismaweb.net/2014/07/ubah-konsep-negara-konspirasi-atau-rekaan/
0 Komentar untuk " Ubah konsep negara: Konspirasi atau rekaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ