BANGI, 11 Julai – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman hari ini membidas kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa yang mendakwa ISMA lebih perkauman daripada Perkasa.
“Pemikiran Mujahid dah celaru, tidak dapat menilai sesuatu mengikut neraca Islam yang betul,” kata Ustaz Abdullah kepada ISMAweb.
Dalam sebuah portal pro liberal, Dr Mujahid berkata ISMA bersifat rasis dan berselindung di balik agama.
“Mujahid cakap kosong. Dia hanya ulang tuduhan-tuduhan puak liberal kepada Islamis yang berusaha mempertahankan identiti dan jati diri.
“Mujahid umpama babgha’ (burung kakak tua), hanya ulang balik tuduhan ekstrimis terhadap Islamis yang berdepan dengan pencairan identiti oleh puak liberal,” kata beliau.
Ujarnya, mempertahankan identiti dan jati diri keislaman bangsa dan negara adalah intipati kepada perjuangan Islam di Malaysia.
“Mujahid orang pertama sifatkan perjuangan Islam sebagai rasis dan anggap kebencian terhadap Islam tidak rasis,” katanya lagi.
Menurut Ustaz Abdullah, mengiktiraf kedaulatan bangsa Melayu di Tanah Melayu tidak rasis dan inilah yang diperjuangkan oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Dr Zulkifli Muhamad dan rakan-rakan Mujahid satu masa dahulu.
“Ekstrim dan rasis adalah sifat yang ganjil bagi Islam dan tidak pernah berlaku pada umat Islam. Ekstrim yang sebenar adalah apa yang sedang kita saksikan di Palestin oleh Yahudi, di Afrika Tengah dan Bosnia oleh Kristian, di Myanmar oleh Buddha, di China oleh komunis, dan oleh Hindu di Sri Lanka. Itulah contoh ekstrimis agama yang membunuh umat Islam,” tambahnya lagi.
“Di mana contoh orang Islam ekstrim yang bunuh penganut agama lain?” soal beliau.
Katanya, Mujahid telah membuat fitnah yang memburukkan agama dan bangsa sendiri.
“Dia dah hanyut, hanya guna ayat Al-Quran ‘Rahmatan lil alamin’ sahaja. Ayat-ayat lain yang menyentuh soal Wala’ dan Bara’ dia dah tak pakai. Pada dia kalau guna ayat itu, bermakna mempromosi kebencian,” jelas Ustaz Abdullah lagi.
Ustaz Abdullah menasihati Dr Mujahid agar kembali kepada Al-Quran Sunnah dan jamaah muslimah dan perlu banyak mengkaji untuk mengelakkan daripada terseleweng dengan ideologi kufur apabila asas ilmu dan fikrah Islam lemah.
“Saya nasihat dia agar kembali kepada Quran Sunnah dan jamaah muslimah. Itu yang ditanya dalam kubur, siapa tuhan kamu, siapa nabi, apa kitab dan siapa saudara. Saya bimbang otak Mujahid dah diselewengkan oleh elemen Yahudi dan Nasrani di sekitar dia,” kata beliau.
0 Komentar untuk " Mujahid cakap kosong, ulang-ulang tuduhan ekstrimis macam burung kakak tua "