DI Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, terpampang di kain rentang besar: “Barang siapa inginkan dunia, maka hendaklah dia berilmu; dan barang siapa inginkan akhirat, maka hendaklah dia berilmu; dan barang siapa inginkan kedua-duanya, maka hendaklah dia berilmu.” (Hadis Bukhari dan Muslim).

Inilah asas dan semangat yang membolehkan madrasah ini bertahan di republik yang mana Melayu-Islam adalah kaum minoriti, malah bertambah maju sepanjang 102 tahun penubuhannya. Ia adalah madrasah tertua di Singapura.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pentadbiran madrasah mampu melakukan perubahan dan penyesuaian sehingga ia menjadi satu institusi warisan dan pendidikan yang membanggakan. Bukan sahaja dari segi keperluan kewangan dan pembangunan fizikal, malah mutu pelajar, kurikulum dan sistem pembelajaran juga diberi perhatian.

Tradisi kecemerlangan melahirkan pelajar yang mampu bersaing dalam masyarakat kompetitif dan menyumbang kepada pembangunan bangsa dan agama adalah bukti kejayaan madrasah yang dibina pada 1912 oleh pengasasnya Syed Mohamad Alsagoff, seorang pedagang Yaman. Beliau anak kepada pedagang Hadramaut Syed Ahmed Syed Abdulrahman Alsagoff dan Rajah Sitti, seorang puteri Sulawesi yang keturunannya dari Melaka. Peninggalan warisannya masih boleh dilihat di Masjid Hajah Fatimah Kg Jawa, Singapura; Kg Nong Chik, Johor Baru dan Jalan Alsagoff di Pontian, Johor.

Semasa rombongan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia melawat madrasah ini minggu lalu, dapat dilihat sekitar 300 pelajar antara 7-18 tahun tekun mengikuti pengajian agama termasuk fiqh, tauhid, al-Quran, tafsir, hadis, mustalah hadis, sejarah Islam, ulum Quran, usul fiqh, akhlak, mantiq dan bahasa Arab. Pelajar juga diberi pendidikan seperti di sekolah pemerintah iaitu Sains, Matematik, bahasa Inggeris serta Kesusasteraan Melayu.

Menurut mudirnya Ustaz Syed Mustafa Syed Jaafar Alsagoff, graduan madrasah ini secara automatik melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi untuk menduduki O Levels (4 tahun), A Levels atau Diploma Pengajian Islam (2 tahun), politeknik atau kolej, hatta ke universiti tempatan dan luar negara, termasuk Al-Azhar dan Universiti Terbuka Amerika di Mesir, Universiti Mu’tah di Jordan serta beberapa universiti di Malaysia seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin Terengganu dan Kolej Universiti Islam Selangor.

Ramai alumni madrasah ini yang cemerlang dan memenangi pelbagai anugerah pendidikan di IPT tempat mereka belajar. Lebih separuh daripada 20 guru yang sedang mengajar di madrasah ini adalah bekas pelajarnya. Antaranya ialah Ustazah Saidah Nafisah Hilmi, graduan UIAM (2008-12). Beliau pelajar cemerlang dan ahli tekwando tali pinggang hitam selain seorang hakim berdaftar dengan Persekutuan Tekwando Malaysia! Ada juga yang bertugas sebagai pengarang di Dow Jones dan ada yang sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah.

Unik bagi saya ialah kesemua pelajar madrasah ini adalah perempuan (sudah 40 tahun tidak diambil pelajar lelaki), dan belajar menggunakan i-Book dan komputer hampir sepenuhnya, yang mana softwarenya dicipta oleh tenaga pengajar. Saya sempat melihat prasarana termasuk makmal sains, komputer dan audio-visual yang canggih dan berhawa dingin, perpustakaan dan dewan. Ada mesin punch card untuk rekod kedatangan pelajar dan guru. Tandas pun juga bersih dan terjaga.

Jelas, madrasah ini menjadi contoh bagaimana sebuah institusi pendidikan Islam harus ditadbir. Menurut Pengerusi Lembaga Pentadbir Tuan Syed Abbas Mohamad Alsagoff, madrasah diurus guna pendapatan dari sumber waqaf, derma, zakat Majlis Agama Islam Singapura dan subsidi kerajaan.

Ini membolehkan kadar yuran yang rendah iaitu SD60 sebulan walaupun kos membiayai setiap pelajar ialah SD500 sebulan. Selain pendidikan formal dari 7.30 pagi hingga 3.30 petang, pelajar terbabit dengan aktiviti kokurikulum seperti kursus debat dan pengucapan awam, fotografi dan kewartawanan, kaligrafi Arab, taranum al-Quran, kelas memasak, kraf tangan, menjahit serta sukan badminton, renang dan pingpong.

Lawatan ke madrasah ini membuka mata dan meningkatkan kesedaran bahawa pengorbanan, kegigihan dan ketakwaan adalah kunci kejayaan. Misi untuk mendidik anak bangsa dan mendaulatkan agama melalui pendidikan adalah tugas suci yang berterusan. Insya-Allah, perjalanan pengalaman dan pencapaian Madrasah Alsagoff Al-Arabiah akan dipaparkan kepada penonton dalam program “Bicara Pondok” yang akan mula siaran tidak lama lagi di Astro Oasis.