Kesan perubahan OPR terhadap kehidupan seharian - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kesan perubahan OPR terhadap kehidupan seharian

Pengenalan

Dasar monetari adalah salah satu dasar dalam pengurusan ekonomi negara. Dasar ini melibatkan pihak berkuasa monetari sesebuah negara dalam mengawal ‘money supply’ bagi negara tersebut. Kebiasaannya polisi ini melibatkan pengawalan kadar faedah atau jumlah penawaran wang dalam pasaran. Objektif utama dasar monetari adalah untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kedudukan harga yang stabil.

Bagi sebuah negara yang sedang membangun, pertumbuhan ekonomi yang stabil dan kadar inflasi (kenaikan harga) yang stabil amat penting bagi pertumbuhan yang berterusan. Kenaikan harga yang tidak terkawal akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi bakal terencat kerana boleh mengakibatkan nilai wang berkurang, mengurangkan insentif untuk menyimpan, melabur dan lain-lain lagi.

Dasar Monetari Dalam Pengurusan Ekonomi

Menurut teori ekonomi monetari, pengurusan kadar faedah adalah penting dalam operasi dasar monetari sesebuah negara. Ia digunakan dalam mengawal pertumbuhan ekonomi dan kadar inflasi bagi negara yang mengamalkan dasar monetari dalam pengurusan ekonomi mereka.

Bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara yang tidak mencapai potensi pertumbuhan ekonominya serta mempunyai kadar inflasi yang rendah, pihak berkuasa monetari sesebuah negara akan menurunkan kadar faedah. Ini akan menyebabkan kos pinjaman menurun dan meningkatkan ‘money demand’ seterusnya merancakkan aktiviti ekonomi negara tersebut.

Hal yang sebaliknya berlaku apabila pertumbuhan yang pesat dan kadar inflasi yang tinggi berlaku. Bagi mengawal perkara tersebut, pihak berkuasa monetari akan menaikkan kadar faedah seterusnya meningkatkan kos pinjaman dan mengurangkan ‘money demand’. Ini akan mengawal kerancakan aktiviti ekonomi seterusnya mengurangkan inflasi.

Dasar Monetari di Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan pihak berkuasa monetari di Malaysia. Institusi ini telah memperkenalkan rangka kerja baru bagi pengurusan kadar faedah pada 26 April 2004. Dalam rangka kerja baru ini, Overnight Policy Rate (OPR) telah diperkenalkan bagi menggantikan Kadar Intervensi 3 Bulan dalam pengurusan kadar faedah.

Menurut BNM, OPR mempunyai dua peranan seperti berikut: -

1)      Penunjuk kepada teras dasar monetari dan;

2)      Kadar sasaran bagi operasi harian pengurusan ‘liquidity’ oleh BNM

Sebarang perubahan OPR akan diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang diterbitkan secara berkala bagi setiap suku tahunan atau jika berlaku sebarang perubahan ke atas dasar monetari.

Selain OPR, prosedur lain yang terdapat dalam rangka kerja baru bagi pengurusan kadar faedah adalah ‘Overnight Rate’ yang digunakan dalam urusan pinjaman antara bank. BNM juga memperkenalkan ‘Overnight Operating Corridor’ serta ‘Standing Facilities’ bagi pengurusan volatiliti ‘Overnight Rate’.

Kenaikan OPR 10 Julai 2014

Dalam kenyataan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang terkini pada 10 Julai 2014, BNM telah menaikkan OPR kepada 3.25%. Menurut BNM, pertumbuhan ekonomi berterusan di negara maju dan di rantau ini telah menyebabkan peningkatan dalam sektor eksport Malaysia seterusnya menjanjikan prospek pertumbuhan ekonomi yang stabil pada kadar yang dijangka. Selain itu, peningkatan aktiviti bagi sektor swasta juga menjadi pemangkin kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara.

BNM juga menambah, walaupun kadar inflasi ketika ini stabil, keadaan ini mungkin akan berubah kerana jangkaan kadar inflasi pada masa hadapan yang lebih tinggi apabila dibandingkan dengan kadar purata jangka panjang disebabkan faktor kos domestik yang meningkat. Oleh yang demikian, dengan prospek pertumbuhan ekonomi yang mantap dan kadar inflasi yang lebih tinggi dari kadar purata jangka panjang, BNM telah membuat keputusan untuk menaikkan OPR bagi mengelakkan ketidakstabilan yang bakal menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia kesan dari kadar inflasi yang tinggi.

Data dari BNM untuk tahun 2014 sehingga bulan Mei menunjukkan purata kadar inflasi tahunan adalah sebanyak 3.4% dan dijangkakan kesan dari program rasionalisasi subsidi terutamanya untuk sektor tenaga serta perlaksanaan GST bakal memberi tekanan ke arah peningkatan inflasi.

Kesan Kenaikan OPR

Seperti yang diterangkan sebelum ini, secara teori ekonomi dasar monetari, kenaikan OPR diharapkan dapat mengawal kadar inflasi. Walaubagaimanapun, hal ini bergantung kepada kemampuan semua pihak dalam menghadapi kesan kenaikan kos pinjaman tersebut. Ada kemungkinan kenaikan ini masih belum cukup untuk mengawal aktiviti ekonomi yang rancak dan kemampuan individu untuk berbelanja.

Antara kesan lain kenaikan kadar faedah juga menyebabkan permintaan bagi matawang negara meningkat kerana pelabur mungkin melihat kadar pulangan yang lebih tinggi jika mereka menyimpan wang dalam Ringgit Malaysia berbanding matawang lain yang mempunyai kadar yang lebih rendah seterusnya menyebabkan nilai Ringgit Malaysia meningkat. Nilai Ringgit Malaysia yang meningkat adalah baik untuk import tetapi tidak untuk eksport.

Untuk individu yang mempunyai hutang atau mempunyai ‘leverage’ yang tinggi, kesan kenaikan OPR ini akan menyebabkan kos pinjaman meningkat kerana kos operasi yang dihadapi oleh institusi kewangan meningkat kesan daripada kenaikan OPR ini. Bagi mereka yang ingin membuat pinjaman atau mempunyai pinjaman yang menggunakan kadar ‘floating’, kos pinjaman atau ‘BLR’ akan meningkat dan mengakibatkan jumlah bayaran pinjaman yang perlu dibayar meningkat. Ini secara tidak langsung mengurangkan wang yang boleh disimpan atau yang boleh dibelanjakan.

Beberapa penganalisis dari institusi kewangan tempatan berpendapat terdapat kebarangkalian untuk BNM meningkatkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas iaitu kepada 3.5%  menjelang akhir tahun ini jika tahap inflasi menunjukkan kadar peningkatan. Oleh yang demikian, kita seharusnya bersedia dengan mempunyai perancangan kewangan yang baik bagi menghadapi sebarang kesan kenaikan tersebut dalam kehidupan seharian.

Rujukan:

1)      http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=8&pg=14&ac=831
2)      http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_press&pg=en_press_all&ac=3037&lang=en

Hafez Yusuf
Aktivis ISMA

0 Komentar untuk " Kesan perubahan OPR terhadap kehidupan seharian "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ