BAGI menjadikan sektor eksport Malaysia lebih berdaya saing, kerajaan mengenakan cukai pada kadar sifar bagi semua bekalan barangan dan perkhidmatan antarabangsa yang dieksport keluar dari Malaysia di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada tahun depan.  
 
Bekalan cukai sifar bermakna tiada GST akan dikutip berikutan perniagaan layak untuk menuntut kredit cukai input dalam memperoleh bekalan, menurut panduan industri mengenai GST ke atas pengilangan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
 
Dengan faedah ini, harga barangan eksport Malaysia akan lebih berdaya saing di peringkat global berikutan tiada GST dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang dieksport manakala GST yang ditanggung ke atas cukai input boleh diperoleh semula di sepanjang rantaian bekalan.
    
Bagi tempoh jangka panjang, industri eksport Malaysia akan menjadi kukuh yang akan membantu ekonomi negara untuk lebih maju.
 
Berdasarkan panduan itu, pengeksport tidak mengenakan GST ke atas pengeksportan mereka tetapi boleh menuntut kredit cukai input atas GST yang ditanggung ke atas cukai input mereka.
 
Bagaimanapun, menurut panduan itu, pengeksport perlu menyimpan dokumen sokongan sebagai bukti pengeksportan seperti borang ikrar eksport, invois dan senarai pembungkusan.
 
Pada Persidangan GST Kebangsaan 2014 di sini minggu lepas, Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia daripada Bahagian GST, Annie Thomas, berkata pengilang yang berorientasikan eksport layak bagi skim khas seperti "Skim Pedagang Diluluskan".
 
Di bawah skim itu, beliau berkata pengilang boleh menggantungkan pembayaran GST ke atas barang yang diimport, yang akan mengurangkan masalah aliran tunai mereka bagi pengimportan.
 
Skim khas lain yang diperkenalkan untuk mengurangkan impak aliran tunai negatif kepada perniagaan termasuk kemudahan dinamakan "Skim Pengilang Tol Diluluskan" (ATMS) dan "Skim Penggudangan" (WS).
 
Skim ATMS disediakan untuk tidak mengambil kira apa-apa pembekalan dibuat oleh pengilang tol tempatan kepada pelanggan luar negara manakala skim WS disediakan untuk tidak mengambil kira bekalan dalam gudang sebelum peringkat duti dan pembekalan terakhir tertakluk kepada GST.
 
Annie merupakan seorang daripada penceramah pada sesi bertajuk,"Impak GST Ke Atas Pengilangan dan Industri Berkaitan", pada persidangan anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tax Advisory & Management Services Sdn Bhd.
    
Beliau berkata, "cukai output" dirujuk kepada GST yang dikenakan kepada pelanggan, manakala cukai yang ditanggung oleh pengilang ke atas pembelian perniagaan dan kos overhed dipanggil "cukai input".
    
Cukai output akan diimbangi oleh cukai input dan jika cukai output melebihi cukai input, baki bersih cukai tersebut perlu dibayar kepada Jabatan Kastam.
    
Bagaimanapun, jika kredit cukai input melebihi cukai output yang kena dibayar, Jabatan Kastam akan membuat pembayaran balik lebihan kredit cukai input kepada pengilang.
 
Annie juga berkata, seseorang pengilang tidak layak untuk mengenakan cukai berkadar sifar ke atas pembekalan yang dibuat bagi pelanggan luar negaranya, jika barangan tersebut tidak dieksport keluar dari Malaysia tetapi dihantar di peringkat tempatan.

Ini boleh berlaku dalam kes barang dieksport di bawah nama syarikat logistik atau untuk 'drop-shipped' kepada pelanggan tempatan bagi pembeli luar negara, justeru itu, pembekalan tertakluk kepada GST pada kadar standard.
    
Seorang lagi penceramah pada sesi sama, Naib Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Raja Datuk Abd Aziz Raja Muda Musa berkata, terdapat kurang kesedaran mengenai kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan bagi pengilang-pengilang.

"Persatuan seperti kami (FMM) dan persatuan perdagangan lain mesti memainkan peranan untuk menyebarkan maklumat, jika tidak, ramai yang akan tidak menyedarinya," katanya, sambil menambah dengan kemudahan itu, ramai pengilang akan mempertimbang untuk mengeksport.
 
"Saya pasti bilangannya akan meningkat," katanya. - Bernama