Tuntutlah apa pun daripada kerajaan pusat, tapi jangan ugut keluar Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tuntutlah apa pun daripada kerajaan pusat, tapi jangan ugut keluar Malaysia

BANGI, 17 Jun – Tokoh akademik dalam bidang Sains Politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff hari ini membidas kenyataan ADUN Sabah Datuk Jeffrey Kitingan yang mengugut akan membawa negeri Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia sekiranya tuntutan tidak dipenuhi.
Menurutnya, kenyataan Jeffrey itu tidak boleh diterima kerana bertentangan Perlembagaan dan menunjukkan sikap beliau yang tidak patriotik pada negara.
“Saya memahami perasaan tidak puas hati tersebut, tetapi mengangggap Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah dan mengugut untuk keluar dari Persekutuan Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh saya terima. Ia bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan, tetapi menunjukkan betapa tidak kuatnya semangat patriotisme kita pada negara,” kata beliau dalam laman facebooknya.
Baru-baru ini Jeffrey Kitingan dalam sebuah program menggesa kerajaan melantik dua orang timbalan perdana menteri untuk mewakili wilayah Sabah dan Sarawak. Tujuannya untuk membendung perasaan tidak puas hati rakyat di dua wilayah berkenaan. Katanya lagi, jika hal ini tidak selesai, “kita harus berpisah dari Malaysia.”
Tambah Dr Agus, soal tindakan tidak adil kerajaan pusat bukan hanya berlaku kepada Sabah dan Sarawak, bahkan ia juga berlaku ke atas negeri Kelantan. Namun, kerajaan PAS Kelantan tidak mengugut untuk keluar dari Malaysia.
“Negeri Kelantan juga merasakan begitu apabila dinafikan haknya mendapat bayaran royalti ke atas minyak yang digali di perairannya. Tetapi Kelantan tidak mengugut untuk keluar Malaysia. Sebaliknya Kelantan mengambil tindakan melalui jalan politik dan undang-undang untuk menyelesaikan tuntutan ini,” katanya lagi.
Beliau menambah, Sabah dan Sarawak berhak menuntut apa pun daripada kerajaan pusat tetapi janganlah membuat gesaan untuk keluar dari Malaysia.
“Bagi saya, tuntutlah apapun dari kerajaan pusat—sama ada dua jawatan timbalan perdana menteri atau 20% bayaran royalti, tetapi janganlah lagi membuat gesaan untuk keluar dari Malaysia. Ini adalah negara kita bersama yang kita perlu jaga keutuhannya,” kata beliau.

0 Komentar untuk " Tuntutlah apa pun daripada kerajaan pusat, tapi jangan ugut keluar Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ