DI sebalik langkah penyejukan bagi sektor hartanah yang diperkenalkan kerajaan melalui Bajet 2014 tahun lalu, penjualan hartanah dilihat kekal rancak dengan pemaju terkemuka mencatat keuntungan dan perolehan tinggi sepanjang suku pertama tahun ini.

Kebanyakan pemaju juga yakin prospek sektor hartanah kekal positif bagi tahun ini.

Pemaju hartanah, I-Bhd mencatatkan pertumbuhan 65 peratus dalam perolehan, kepada RM44.9 juta serta peningkatan 65 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM8.4 juta bagi suku pertama 2014, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perolehan pembangunan hartanah pula ialah RM32.7 juta, lebih sekali ganda berbanding suku pertama 2013.

Pengerusi Eksekutif I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, jualan daripada projek yang dilancarkan sejak dua tahun lalu, seperti i-Residence, i-SOVO dan i-SOHO menjadi penyumbang besar kepada segmen hartanah.

"Kami jangka momentum pertumbuhan itu akan berterusan dalam bulan-bulan akan datang kerana sumbangan (projek) i-Suite (fasa 1) yang dilancarkan akhir tahun lalu akan meningkatkan lagi keputusan kami," katanya melalui satu kenyataan, semalam.

I-Bhd juga akan melancarkan hartanah bernilai RM1.6 bilion dalam beberapa bulan akan datang melibatkan projek Grand i-Residence@Kia Peng dan i-Suite (fasa 2) di i-City selain dalam perancangan membangunkan projek ikonik The Jewel, iaitu pembangunan bersepadu dengan kediaman, pejabat dan hotel seluas empat juta kaki persegi.

Sementara itu, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) pula merekodkan perolehan kukuh kira-kira RM642.2 juta dan untung bersih RM84 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2014, menandakan peningkatan sehingga 51.8 peratus bagi perolehan syarikat dan kenaikan 20.9 peratus bagi untung bersih, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Mah Sing juga mencatatkan jualan hartanah kira-kira RM770 juta sehingga 31 Mac 2014, dibantu oleh fokus kumpulan itu terhadap pasaran hartanah umum di lokasi bertepatan dan produk selari dengan permintaan pasaran.
Menurut Mah Sing, jualan kukuh dilihat dalam kediaman bertingkat tinggi mampu milik seperti Savanna Executive Suites di SouthvilleCity@KL South, Bangi yang dijual pada harga bermula RM338,000 dan D’saraSentral di Sungai Buloh dengan harga bermula RM380,000.

"Kami menjangka momentum pembelian lebih kukuh bagi separuh kedua tahun ini, dengan pembeli berpotensi dijangka membeli sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan tahun depan," menurut Mah Sing.

Kumpulan itu berkata, pasaran hartanah di Malaysia kekal kukuh disokong oleh populasi pekerja muda, proses urbanisasi, pasaran pekerjaan stabil, kadar gadai janji menarik dan budaya memiliki atau melabur dalam hartanah sendiri.

Pengarah Urusan LBS Bina Group Bhd (LBS), Datuk Seri Lim Hock San pula berkata, walaupun pasaran hartanah kini menerima pelbagai jenis komen, ia tidak mempengaruhi prestasi LBS.

"LBS juga aktif dalam pelancaran projek pembangunan baharu serta gigih mendapatkan tanah yang berpotensi untuk meningkatkan prestasi syarikat," katanya dalam satu kenyataan, Selasa lalu.

LBS mencatat peningkatan 34 peratus dalam jumlah pendapatan kepada RM145 juta dan pertumbuhan 12 peratus dalam pendapatan sebelum cukai kepada RM18 juta dalam suku pertama 2014.