AKTIVITI klon produk bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini, bahkan ia sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya.

Saban hari aktiviti ini semakin berlanjutan dan turut memberi kesan kepada perolehan dan pendapatan syarikat pemilik produk yang dipatenkan.

Ada berpendapat demi keghairahan untuk tampil bergaya dan hidup mewah menyebabkan pengguna mengambil langkah mudah dengan membeli barang tiruan yang jauh lebih murah berbanding produk tulen.

Lantas terdapat banyak lambakan barangan buatan beberapa negara yang dijual di negara ini dari China, Indonesia dan Thailand yang dijual lebih murah, mendorong pengguna membelinya tanpa memikirkan kesan negatif kepada ekonomi negara.

Kewujudan banyak premis dan perniagaan dalam talian yang menjual barangan tiruan juga semakin bertambah bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Produk yang diklon pula tidak hanya tertumpu kepada barangan tertentu tetapi meliputi semua barangan termasuk barangan elektrik, pakaian, alat permainan kanak-kanak, selendang, aksesori, beg tangan wanita berjenama, telefon bimbit, barangan kecantikan dan kosmetik.
Semua produk AJ diklon

Bagi syarikat Colors Addiction Sdn Bhd, iaitu pengeluar tudung bawal di bawah jenama Aidijuma (AJ), aktiviti klon atau cetak rompak yang semakin berleluasa kini sememangnya memberi kesan kepada pendapatan syarikatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Colors Addiction Datin Norjuma Habib Mohamad berkata, tudung AJ mempunyai 200 rekaan dan setiap rekaan tudungnya diklon dan dijual secara berleluasa di negara ini, sama ada menerusi dalam talian (online) atau di kedai-kedai khususnya di Kuala Lumpur.

"Dengan aktiviti pengklonan itu, ia secara langsung memberikan kerugian kepada syarikat sehingga jutaan ringgit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, penjual tudung klon ini mengambil kesempatan terhadap populariti jenama AJ dan turut mengaut keuntungan tanpa perlu menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan seperti pemasaran dan promosi.
Katanya, jenama AJ sudah diklon sejak daripada rekaan pertamanya lagi pada 2012 dan beliau sendiri mengetahui tudung keluarannya diklon dengan menggunakan gambarnya di kilang pencetakan di China.

Norjuma berkata, individu yang melakukan aktiviti ini juga sentiasa menunggu setiap rekaan baharu syarikatnya untuk diklon.

"Pihak kami sendiri pernah ke (sebuah kawasan membeli-belah popular di Kuala Lumpur) untuk meninjau penjualan produk-produk klon itu dan pernah berjumpa sendiri dengan pemilik sebuah kedai kain yang didapati turut menjual tudung klon AJ.

"Kami sudah meminta mereka berhenti menjualnya tetapi tidak dihiraukan," katanya.
Menurutnya, kebanyakan kegiatan klon tudung ini didominasi oleh warga asing.

"Modus operandi orang yang aktif dalam melakukan kegiatan ini juga bukanlah calang-calang kerana saya percaya mereka mempunyai wang yang banyak untuk mendapatkan rekaan saya untuk dicetak," katanya.

Mengulas sama ada harga produk tulen menjadi faktor kepada aktiviti klon ini, Norjuma berkata, harga tidak menjadi penyebab tetapi ia berlaku kerana tudung klon dapat dijual secara berleluasa di mana-mana sahaja.

"Tudung AJ dijual dengan harga serendah RM7 sehingga RM59 sehelai tetapi hanya boleh didapati di butik-butik Aidijuma dan secara online," katanya.

Pihak berkuasa perlu ambil tindakan

Norjuma berkata, buat masa ini syarikatnya mengambil langkah tunggu dan lihat dalam isu ini.

"Sebuah syarikat (pengeluar tudung) telah pun bertindak dan saya mahu lihat sejauh mana ia dibawa ke muka pengadilan dan bagaimana pihak berkuasa berusaha membendung isu ini," katanya.

Menurutnya, buat masa ini, beliau ingin menumpukan kepada strategi untuk mengembangkan butiknya dengan lebih banyak ke seluruh negara supaya jenama itu mudah diperolehi penggemar tudung itu.

Katanya, aktiviti cetak rompak atau klon produk ini sudah berlanjutan sejak bertahun-tahun lamanya di Malaysia.

Jadi, beliau berkata, kerajaan perlu menunjukkan bukti bahawa mereka benar-benar mahu membendung isu itu secara serius.

Tambahnya lagi, jika mahu mengawal aktiviti ini, pihak berkuasa perlu bermula dengan menahan produk itu daripada memasuki pintu sempadan negara.

Norjuma berkata, syarikatnya meminta penjual produk klon AJ supaya tidak menggunakan gambarnya dan jenama AJ pada tudung klon itu kerana tudung AJ didaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).