BUKAN sahaja jenama tempatan, malah jenama antarabangsa lebih banyak menjadi mangsa kepada produk klon.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan turut melakukan rampasan telefon bimbit Samsung pelbagai model dan aksesori yang disyaki tiruan di Kedah menerusi Ops Samsung.

Serbuan itu telah merampas empat unit telefon bimbit pelbagai model dan aksesori yang dianggarkan bernilai lebih RM25,000.

Telefon bimbit tiruan dipercayai diimport dari China itu dikatakan dijual antara harga RM50 sehingga RM400 seunit berbanding harga telefon asli RM800 hingga lebih RM2,000.

Wakil Samsung dari Kuala Lumpur, Eow Khean Fatt berkata, serbuan itu dibuat berikutan hasil aduan daripada pengedar Samsung negeri itu yang memaklumkan terdapat segelintir peniaga yang menjual barangan Samsung tiruan.

Katanya, rampasan itu sekurang-kurangnya berjaya melumpuhkan satu sindiket menjual telefon bimbit tiruan.

Pemilik premis yang menjual barangan palsu itu boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 41 Akta Perihal Dagangan 2011, dengan mereka boleh didenda RM100,000 bagi individu dan RM 250,000 bagi syarikat atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.