Isu perkahwinan antara Zarina Abdullah Majid dengan seorang jejaka yang beragama Hindu baru-baru ini telah mendapat pelbagai respon dan reaksi pelbagai pihak. Ketika berlangsungnya majlis perkahwinan di sebuah kuil di Petaling Jaya, beberapa orang pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor (JAIS) telah datang menyiasat. Tindakan itu diambil setelah mendapat aduan orang ramai yang meragui tentang pasangan yang dipercayai antara seorang wanita beragama Islam dan seorang lelaki Hindu.
Sebagai sebuah badan yang berautoriti, JAIS berhak berbuat demikian di samping bertanggungjawab dalam memastikan agama Islam terpelihara di negeri Selangor. Ini kerana, dalam Islam, seorang perempuan yang beragama Islam tidak dibenarkan berkahwinan dengan lelaki yang bukan beragama Islam. Jika perlanggaran kepada peraturan ini benar-benar berlaku, maka JAIS sememangnya patut bertindak dan berhak untuk membuat siasatan.
Pandangan yang mengatakan JAIS menganggu dan menyebabkan majlis tersebut tergendala adalah tidak benar kerana pegawai-pegawai tersebut datang menyiasat bukannya menyerbu melulu. Malah, mereka turut mendapat kerjasama daripada tetamu yang hadir. Ada juga yang menyarankan supaya JAIS sepatutnya membiarkan majlis berlangsung sehingga selesai kemudian baru membuat siasatan supaya tidak menganggu majlis. Ini sama sekali tidak patut kerana tujuannya adalah untuk menyelamatkan aqidah pengantin terbabit sebelum berlangsungnya perkahwinan tersebut.
Justeru kita serahkan kepada pihak JAIS untuk menangani masalah ini kerana mereka lebih arif dengan peruntukan dalam Jadual 9 Perlembagaan Senarai 2, Islam di bawah kuasa majlis agama Islam negeri.
Namun, bagi kita masyarakat awam yang beragama Islam, perlu mengambil iktibar daripada kes ini. Kita sedia maklum bahawa Zarina adalah salah seorang mangsa perceraian yang berlaku di negara kita. Perceraian yang memisahkan antara suami dan isteri juga antara anak-anak dan keluarga.
Apabila berlaku perceraian ia tidak terhenti setakat itu sahaja. Jika ia tidak diuruskan dengan betul, sudah tentu ia akan memberi kesan negatif yang mungkin berpanjangan.
Perceraian yang dianggap sebagai satu penyelesaian sebuah konflik memungkinkan lahirnya konflik-konflik yang lain pula. Lantaran itu, bagi setiap pasangan yang beragama Islam yang mempunyai keinginan untuk bercerai mesti berfikir panjang. Meleraikan ikatan perkahwinan hanyalah antara suami dan isteri, namun penjagaan anak-anak tetap tidak boleh diabaikan.
Pihak-pihak Jabatan Agama, NGO-NGO Islam dan badan-badan kemasyarakatan perlu mendidik masyarakat tentang hak hadhanah dan mendidik anak-anak dengan ajaran Islam kepada semua pasangan suami isteri dan pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Jangan hanya mengiklankan ‘mudah dan syoknya berkahwin’ tetapi lupa untuk menekankan tentang tanggungjawab dalam perkahwinan yang sedia menanti termasuklah dalam hal mendidik pasangan dan anak-anak.
Kembali kepada kes Zarina ini, pihak JAIS perlu membuat siasatan lanjut. Pastikan kedudukan agama mereka yang sebenarnya. Adakah bapanya sudah memeluk Islam ketika Zarina di lahirkan, atau memeluk Islam hanya selepas dia dilahirkan atau bagaimana. Begitu juga latar belakang agama bekas isterinya, dengan tujuan untuk menentukan status sebenar Zarina.
Zarina dikatakan berada dalam jagaan ibunya yang tidak beragama Islam. Apabila dewasa Zarina memohon untuk menukar status kepada bukan Islam dan ingin berkahwin dengan seorang lelaki Hindu.
Boleh jadi perkara ini berlaku akibat daripada kejahilan bapanya, yang tidak tahu tentang hak penjagaan anak dalam Islam. Atau mungkin ada kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, lantas berlakulah apa yang telah berlaku.
Kesimpulannya, isu ini mengingatkan kita kepada kewajipan sebagai seorang ibu bapa yang beragama Islam. Sebagai ibu bapa, hendaklah dipastikan bahawa ajaran Islam itu diaplikasikan dalam institusi kekeluargaan.
Selain itu, walau apa pun konflik yang terjadi di antara suami dan isteri, pastikan anak-anak tidak menjadi mangsa keadaan. Apatah lagi jika salah seorang daripada ibu bapa tersebut bukan bukan beragama Islam (kerana pasangannya memeluk Islam di tengah-tengah perkahwinan), maka bapa atau ibu yang beragama Islam mesti mempertahankan hak hadhanah terhadap anak tersebut.
Isu ini bukan semata-mata menjaga ikatan tali kekeluargaan, akan tetapi ia juga adalah isu menjaga kesucian akidah Islam itu sendiri kerana “menjaga agama” adalah salah satu daripada maqasid syariah yang perlu dipertahankan. Anak yang dilahirkan umpama kain putih tidak dibiarkan dicemari kesucian fitrahnya begitu sahaja. Ibu bapalah yang perlu mencorakkannya.
Kita bimbang jika pihak berkuasa (seperti JAIS) tidak bertegas, isu ini akan dipandang remeh di masa-masa akan datang. Dan yang paling penting sekali ialah kesucian agama Islam terpelihara, di samping mengelakkan berlakunya kecelaruan identiti di kalangan umat Islam itu sendiri. Maka, sebagai umat Islam, hendaklah kita bersatu dalam memelihara agama Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Ustazah Norlida bt Kamaruddin
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Pusat
Sumber: http://ikeluarga.net/2014/06/isu-zarina-pentingnya-pendidikan-agama-kepada-anak-anak/
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Pusat
Sumber: http://ikeluarga.net/2014/06/isu-zarina-pentingnya-pendidikan-agama-kepada-anak-anak/
0 Komentar untuk " Isu Zarina: Pentingnya pendidikan agama kepada anak-anak "