KUALA LUMPUR, 17 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berunding dengan Peguam Negara (AG) jika ia berpendapat AG perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Peguam Negara baru-baru ini memutuskan bahawa tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut dibuat pada Januari lepas, sekali gus menutup kes berkenaan.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata penyelesaian isu rampasan kitab tersebut milik Persatuan Bible Malaysia itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan dan Undang-undang Negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat.
“Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mestilah menghormati keputusan yang dibuat,” katanya.
Najib juga berkata kerajaan negeri Selangor, Mais dan Jais yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbiran hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan semula kitab Bible tersebut atau sebaliknya.
“Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.
“Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan juga kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada 2 Jan lepas, JAIS menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 kitab Bible dalam usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.
Namun pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible tersebut, sekali gus menutup kes berkenaan. – BERNAMA
0 Komentar untuk " Isu Bible: Najib baru bersuara "