KUDA kepang terkenal satu tarian popular rakyat Johor hingga dijadikan simbol identiti budaya negeri terbabit. Sekali pun berakar umbi pada sejarah budaya orang Jawa, rakyat Melayu Johor bukan Jawa turut menerima penonjolan kuda kepang sebagai lambang budaya Johor kerana keunikannya dan rentak muzik serta lenggok tariannya menarik dan menghiburkan.

Lebih-lebih lagi sejarah kuda kepang dikaitkan dengan legenda hebat pendakwah Islam menyebarkan mesej agama suci itu di Nusantara. Kaedah kreatif budaya menggunakan tarian dan rentak muzik serasi dengan jiwa pendengar dan selera hati penonton membawa kejayaan besar kepada pendakwah Islam. Terutama mengambil kira suasana kehidupan masyarakat di Jawa ketika itu tebal dengan kepercayaan magis dan amalan hidup dipengaruhi kuasa mistis.


Bisnes kuda kepang

Selain ikon budaya Johor, kuda kepang kini turut dijadikan metafora gaya pendekatan bisnes dan politik Melayu. Beberapa pemerhati Melayu pernah melabelkan gaya bisnes Melayu seumpama bisnes “kuda kepang”, terutama setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.

Sewaktu DEB dilancarkan, kerajaan membuka peluang sangat luas memudahkan Melayu dan Bumiputera berniaga dan berbisnes bertujuan merapatkan jurang ekonomi antara kaum. DEB banyak menggunakan kaedah intervensi langsung kerajaan termasuk perundangan, sistem kuota, permit dan pelesenan serta dasar peruntukan khas saham kepada Melayu/Bumiputera.

Selain itu, intervensi dan regulasi bertujuan menggalakkan usaha sama dengan bukan Bumiputera tegas dikuatkuasakan saham 30 peratus untuk Bumiputera dijadikan pra-syarat utama kelulusan lesen industri atau kebenaran penyenaraian semua syarikat.

Kesannya, kaedah usaha sama atau joint venture berkembang pesat menjadi trend bisnes menggalakkan di Malaysia. Sekalipun banyak usaha sama tulen, malangnya terdapat bisnes mengambil kesempatan menjadikan Melayu/Bumiputera hiasan luar atau window dressing bertujuan memenuhi syarat DEB. Ramai Melayu berpangkat, juga berdarjat tinggi, menjual nama dan maruah dengan harga murah, memburu ganjaran segera tanpa berbuat apa-apa. Trend tidak sihat ini akhirnya mencemar identiti
merosakkan imej bisnes Melayu dan Bumiputera amnya, langsung mencetuskan apa yang dipanggil budaya bisnes kuda kepang.

Istilah bisnes kuda kepang khusus merujuk kepada kendalian bisnes bukan atas daya usaha sendiri, sebaliknya seumpama dalam tarian kuda kepang, berpanjangan daripada mula hingga ke akhir menumpang prestasi dan hasil daripada kejayaan usaha atau kaki orang lain. Dalam kata lain, sekali pun si kuda Melayu mendapat nama dan sedikit habuannya, orang lain menggunakan nama Melayu menjadi kaya-raya hampir membolot semua. Kesudahannya, Melayu sebenarnya telah 'dikudakan', hilang maruah dan luput harga diri.

Ringkasnya, budaya kuda kepang memudaratkan, menyebabkan ahli bisnes Melayu gagal berdikari dan bangsa Melayu berpanjangan bergantung hidup kepada orang lain.


Politik kuda kepang

Bahayanya, setelah Melayu pengamal budaya bisnes kuda kepang kalah dalam persaingan bisnes dengan bukan Melayu, budaya sama kelihatan merebak pula ke arena politik Melayu.

Gaya politik kuda kepang dibudayakan apabila kerajaan dan pemimpin berkuasa di segala peringkat turut mengeksploitasi sindrom kebergantungan rakyat Melayu bertujuan mempertahankan kuasa politik dan pemerintahan. Penguasa politik lebih senang jika rakyat Melayu tidak berpemikiran berdikari terus-menerus bergantung hidup kepada talian kuasa politik di tangan mereka. Budaya politik kuda kepang memudahkan pengundi Melayu ditambat hati, menjanjikan kesetiaan politik berpanjangan yang diperoleh atau dibeli menggunakan hanya sedikit modal kuasa politik.

Kaedah paling popular ialah menabur habuan politik murahan, misalnya menerusi agihan lesen kontraktor kelas F, tender projek kecilan, lesen dan permit. Kepada golongan rakyat paling bawah habuannya lebih mudah, cuma menggunakan duit cukai dan peruntukan pembangunan serta agihan geran dan curahan subsidi, termasuk pemberian wang langsung daripada kerajaan.

Di peringkat lebih tinggi pertaruhan ganjaran politiknya pasti lebih besar. Itu pun mudah ditangani setelah budaya politik kuda kepang berleluasa mempengaruhi golongan ini. Kaedah popular dijayakan menerusi agihan konsesi balak, tanah, pasir dan lombong. Bagi mereka yang lebih sofistikated digunakan curahan peluang bisnes, direct nego tender besaran, peruntukan saham istimewa, juga peluang penswastaan aset dan bisnes milik kerajaan dan GLC.


Bahaya budaya politik kuda kepang

Bahaya paling besar sindrom politik kuda kepang terdapat pada impak jangka pendek dan panjang yang kedua-duanya merosak dan memudaratkan. Pada jangka pendek apabila rakyat pasif, penyalahgunaan kuasa pasti berleluasa, melahirkan budaya politik impuniti atau keangkuhan kuasa tanpa pertanggungjawaban di peringkat pucuk pimpinan.

Budaya politik kuda kepang juga merosakkan apabila aktivis politik pertengahan hilang keberanian bersuara dan patah semangat juang, tidak lagi sanggup berkorban kepentingan diri memperjuangkan kepentingan besar bangsa. Sindrom politik membisu seribu bahasa berlaku apabila majoriti aktivis politik Melayu takutkan tumpahnya periuk nasi peribadi, menyebabkan golongan politik Melayu dipandang rakyat seumpama golongan melampau kecil jiwa.

Virus penyakit kecil jiwa berleluasa dalam kalangan aktivis politik (juga berleluasa di beberapa GLC amanah Melayu) apabila semakin ramai pemimpin silau mata melihat harta. Demikian juga apabila ramai dilihat seolah-olah hilang akal dan pertimbangan; kerana melampau sayangkan kerusi, cintakan pangkat dan jawatan sanggup membelakangkan teras pengertian perjuangan.
Paling tragis apabila virus budaya kuda kepang menjangkiti pucuk pimpinan penguasa tertinggi politik Melayu, mengakibatkan sesetengah mereka turut menjadi kecil jiwa, lemah semangat juang dan rendah tahap jati diri. Mereka lebih suka diarak, di kompang, dibunga-manggarkan tetapi tidak berani menggunakan kuasa sekali pun untuk menegakkan hak dan kebenaran.

Justeru tidak hairan jika terdapat banyak insiden dalam sejarah politik Melayu sejak merdeka di mana penguasa politik kuda kepang kecil jiwa dengan mudah berkompromi atau membiarkan sahaja orang lain tidak berhak kuasa membeli atau “merampas” kuasa legitimis di tangan penguasa Melayu.

Rakyat Melayu pasti sedih dan kecewa melihat terlalu banyak insiden membabitkan penjualan atau penggadaian tanah dan sumber kekayaan negara, tidak kira kepada pembeli tempatan mahu pun orang asing, semata-mata bertujuan memuaskan nafsu memburu emas dan ringgit berbilion serta menghimpun harta kekayaan menggunung.

Inilah impak paling tragis kepada bangsa Melayu, iaitu apabila budaya kuda kepang terus di biar berpanjangan mencorak gaya bisnes dan mendominasi budaya politik Melayu. Justeru, sindrom kuda kepang wajib segera dikikis habis-habisan, dihapuskan daripada jiwa setiap orang Melayu.

Oleh kerana tarian kuda kepang diperkenalkan di negeri Johor, sewajarnya Melayu sambut baik keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri Johor pada 2009 yang mengharamkan tarian kuda kepang, “tidak kira sama ada tarian biasa atau dramatari atau tarian gelanggang kerana bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah”.

Tiba masanya budaya kuda kepang diharamkan dan dihapuskan juga dari gelanggang bisnes dan politik Melayu. Proses ini wajib dimulakan semua lapisan kepimpinan berkuasa, sama ada CEO bisnes atau pemimpin berkuasa politik Melayu. Semua Melayu barisan depan wajib gagah dan gigih berjuang dan berjihad, mengguna kuasa dan sumber pada tangan masing-masing mempertahankan hak dan kepentingan, menegakkan keadilan dan kebenaran, selain membela nasib generasi depan warga Malaysia.