SHAH ALAM – Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd Khamil Jamil menegaskan pihaknya sentiasa berazam untuk mengubah persepsi rakyat terhadap Proton Holdings Berhad (Proton) dengan meningkatkan kualiti kereta nasional itu.

Mohd Khamil berkata, antara aspek yang ditekankan adalah mengenai keselamatan dan kualiti Proton.

“Kita hargai sokongan rakyat terhadap Proton kerana tanpa mereka kita tidak berada di tahap ini tetapi disebabkan persepsi terhadap Proton sebelum ini kita mahu mengubahnya.

“Kita terima segala idea, cadangan dan segala maklum balas,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan dua graduan terbaik Kolej Antarabangsa Automotif (ICAM), Aziz Taib dan Najla Dyana Amira Najmi yang dihantar ke kilang pemasangan Volkswagen Autoeuropa di Palmela, Portugal pada 3 Mei ini.

Kedua-duanya akan menjalani latihan kerja selama enam bulan.

Mohd Khamil berkata, pihaknya menjalankan kajian untuk memperbaiki kualiti dan keselamatan Proton.

Menurutnya, Proton memandang serius segala kritikan dilemparkan terhadap mereka dalam usaha memperbaiki mutu pengeluaran kereta itu.

“Strategi kita berusaha untuk memperbaiki kualiti dan keselamatan kereta malah memastikan ia mampu dimiliki oleh rakyat negara ini.

“Kita tak boleh pandang ringan mengenai segala kritikan yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai  kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mengatakan rakyat tidak percaya dengan Proton.