"ONE of the sad realities today is that very few people, especially young people, read books. Unless we can find imaginative ways of addressing this reality, future generations are in danger of losing their history." (Nelson Mandela)
http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/mahasiswa-dan-revolusi-buku-1.280541
Pernahkah kita semua terfikir, mengapakah masa lapang mahasiswa sering dipenuhi dengan gosip dan bual-bual kosong? Mengapa sering kali kita melihat mahasiswa membimbit iPad Mini dan Samsung Galaxy, bukannya bahan-bahan bacaan ilmiah? Mengapa perpustakaan universiti hanya hidup pada waktu-waktu ‘dateline’ tugasan dan musim peperiksaan sahaja?
Mengapa?
Masalah Kita (Mahasiswa)
Masalah Kita (Mahasiswa)
Sememangnya, ada masalah dalam budaya ilmu dan membaca dalam kalangan anak muda, khususnya mahasiswa. Mahasiswa hari ini memandang budaya ilmu itu cukuplah sekitar proses-proses berikut: menghadiri kuliah-kuliah wajib, ulang kaji pelajaran, dan memuntahkannya dalam peperiksaan akhir. Tiada langsung ruang untuk diri membaca bahan-bahan bacaan ilmiah, berdiskusi dan menghadiri wacana-wacana ilmu. Yang membimbangkan, proses ini diulang-ulang dalam setiap semester.
Setelah 8 semester mengulang proses yang sama, segulung ijazah dianugerahkan kepada mereka tanda kejayaan mereka diprogramkan. Selepas itu, hidup mereka hanyalah sekadar untuk mencari makan untuk diri, isteri dan anak-pinak. Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan pun hidup.
Sangat menyedihkan.
Walhal, proses menuntut ilmu itu seharusnya bermula dari buaian sehingga ke liang lahad. Bahkan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah perintah membaca, suatu manifestasi terhadap kepentingan ilmu.
Masalah utama kita - sebagaimana yang ditulis oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya ‘Budaya Ilmu’, ialah sikap kita terhadap ilmu dan pembacaan reflektif. Dr. Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah DBP pula pernah menegaskan bahawa masalah budaya ilmu berlaku kerana dua masalah yang cukup mendasar. Pertamanya ialah rakyat tidak mempunyai kesedaran buku atau minat membaca yang tinggi, dan kedua ialah masalah budaya pendidikan dalam masyarakat.
Justeru, bagi memupuk budaya dan sikap menghargai ilmu dalam kalangan mahasiswa, kita harus bermula dengan memupuk budaya buku.
Buku Oh Buku
Buku seharusnya dijadikan rakan karib. Kalau mahu membudayakan ilmu, buku wajar dijadikan paksi dan obsesi mahasiswa.
Ketika duduk menunggu di perhentian teksi, bacalah buku. Ketika berdiri lama di dalam tren dari Gombak ke KL Sentral, bacalah buku. Ketika menanti pensyarah masuk ke dalam kelas, bacalah buku. Ketika bosan duduk di bilik ketika cuti hujung minggu, bacalah buku. Pendek kata, bacalah buku!
Namun, ada dalam kalangan mahasiswa yang mengeluh:
“Macam mana nak beli buku? Duit PTPTN cukup-cukup sahaja untuk bayar yuran dan untuk sara diri.”
“Buku-buku di perpustakaan terlalu membosankan. Tak ada selera nak sentuh, apatah lagi untuk membaca.”
Ada juga yang berkata:
“Saya rajin dan ghairah membeli buku, tapi tiada masa untuk membaca. Bilik saya tak ubah seperti gudang buku.”
“Saya sudah serik membeli buku. Beli buku mahal-mahal, setelah dibaca, dibiarkan terperap di atas rak. Buku itu hanya dibaca sekali sahaja.”
Tidak dapat dinafikan, rungutan di atas adalah halangan-halangan yang perlu ditangani. Kalau mahasiswa tidak mempunyai akses kepada buku-buku berkualiti, bagaimana mahu memupuk budaya buku dan ilmu?
Atas dasar itu, saya menyeru kepada mahasiswa di seluruh negara, tak kira dari kaum Melayu, Cina atau India; dari IPTA, IPTS, IPG, atau Politeknik untuk bersama-sama menggerakkan suatu revolusi. Revolusi ini tidak melibatkan demonstrasi dan tunjuk perasaan, jauh sekali dari mengancam keselamatan dan nyawa. Mari gerakkan ‘Revolusi Buku’ di seluruh negara.
Revolusi Bank Buku
Revolusi ini digerakkan melalui bank buku. Asas kepada bank buku ini adalah sama seperti bank-bank konvensional, cuma objek utama bagi bank ini adalah buku, bukan wang. Pihak yang menguruskan bank buku menjadi medium perantara antara mereka yang memiliki lebihan buku (surplus) dan mereka yang amat memerlukan buku untuk bacaan (defisit).
Disiplin utama dalam revolusi ini ialah tiada langsung motif keuntungan dan minimumkan kos. Pihak yang meminjamkan buku dan yang menguruskan pinjaman wajib menjalankan revolusi ini atas kesedaran penuh bagi memupuk budaya buku. Tiada caj seharusnya dikenakan kepada peminjam. Hal ini penting untuk menggalakkan pinjaman dan pembacaan.
Revolusi ini juga tidak memerlukan anda memegang jawatan-jawatan yang besar. Tidak perlu berkempen untuk memenangi Pilihan Raya Kampus dan menduduki kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa. Cukup dengan kefahaman yang mendalam dan jiwa yang ghairah.
Berdasarkan pengalaman saya bersama Ma’ruf Club IIUM menggerakkan revolusi ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berikut merupakan langkah-langkah awal untuk menggerakkan revolusi ini:
1. Cari sahabat-sahabat yang ada kesedaran bersama. Kalau belum ada yang sedar, fahamkan mereka akan kepentingan revolusi ini. Kalau tiada juga, anda gerakkan sendiri. Kata Gandhi: “Be the change you wish to see in this world.”
2. Kumpulkan buku-buku untuk dipinjam. Bagi memastikan revolusi ini memberi impak maksimum, pastikan buku itu buku yang berkualiti. Harus diingat, buku berkualiti bukan bermaksud buku yang mahal. Ada buku yang bernilai RM8, tetapi isinya cukup bermanfaat.
3. Gerakkan Bank Buku ini di ruang-ruang awam sekitar universiti. Anda boleh membuka bank ini di tepi-tepi sungai, kaki lima atau di kafeteria. Berita baiknya, revolusi ini tidak memerlukan bajet dan kertas kerja panjang berjela, serta tidak perlu menghadapi birokrasi HEP.
4. Rekodkan keluar-masuk buku. Proses ini penting, supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari. Berikan kepercayaan kepada peminjam. Selalunya, tidak ada orang yang ‘mencuri’ buku. Anggap sahaja bahan bacaan yang belum dipulang sebagai pemanjangan tempoh pinjaman.
Mula Sekarang!
Tulisan ini bukan untuk mendodoikan anda dengan kata-kata pujangga, atau memeningkan kepala anda dengan bait-bait falsafah. Tulisan ini untuk menggerakkan!
Revolusi ini mesti bermula sekarang.
“Let not a future historian write of us: ‘They were an uninspired, convictionless generation; their only monuments are the used dance-coupons, the cigarette stubs and the Week-ender.’”
Revolusi ini telah pun digerakkan oleh kumpulan Buku Jalanan di seluruh negara. Revolusi ini mesti menembusi pintu-pintu pagar kampus. Jangan biarkan generasi kita dikenang kerana budaya hedonisme, kemandulan ilmu dan sikap ‘akutidakpedulisme’.
Ayuh teman-teman. Jalan sudah terbentang luas di depan mata. Selepas ini, moga suburlah Revolusi Buku di institusi-institusi pengajian seluruh negara. Moga suburlah Buku Jalanan Usim, UiTM Street Books, Pustaka Siswa Kuis, Bank Buku IPG Ipoh, dan Taylor’s Books.
Apapun namanya, moga suburlah Revolusi Buku!
HANIF MAHPA
Penulis merupakan Timbalan Presiden 1 Economics and Management Sciences Society (EMSS IIUM) dan revolusioner Maktabah Pena, suatu bank buku yang digerakkan oleh Ma’ruf Club IIUM.
0 Komentar untuk " Mahasiswa dan Revolusi Buku "