SEJARAH perjuangan bangsa Melayu menempuh pelbagai pancaroba, melawan penjajahan, perebutan dan perluasan kuasa tapi nasionalisme Melayu yang wujud berkurun-kurun dapat mempertahankan maruah dan kedudukan Melayu.

Kehebatan dan kepahlawanan Tun Perak, Hang Tuah dan empat saudaranya, Datuk Bahaman, Tok Janggut dan Mat Kilau adalah simbol perjuangan orang Melayu menentang penjajah.

Pada abad ke-20, peranan ini diambil oleh gerakan dan parti politik seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Putera-AMCJA, Hizbul Muslimin dan Umno yang menentang Malayan Union sehingga negara mencapai kemerdekaan. Umno menyambut ulang tahun ke-68 bulan ini.

Antara aktivis semangat kebangsaan Melayu ialah Dr Burhanuddin al-Helmy atau nama sebenarnya Burhanuddin Hj Mohd Noor. Lahir di Changkat Tualang Kota Baru, Perak pada 1911, beliau memimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung serta terlibat dengan Barisan Kebangsaan Melayu dan penganjur utama penubuhan Parti Rakyat pada 1955 sebelum menjadi Yang Dipertua Agung Pas pada 1956.

Perjuangan awal Pas dan ideologi politik Dr Burhanuddin sebenarnya berasaskan nasionalisme Melayu dan patriotisme Tanah Melayu. Majoriti ahli Pas yang muda dan masyarakat bukan Melayu, mungkin tidak sedar perkara ini.

Dr Burhanuddin, sering dipanggil “Pak Doktor”, mempertahankan kefahaman semangat kebangsaan menggunakan ayat Quran, hadis dan kisah sejarah Islam. Katanya: “Islam memandang kebangsaan itu sebagai suatu alat bukan tujuan.

Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan sesuatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.”

Beliau memperjuangkan kewarganegaraan yang dinamakan ‘Melayu’ dan bukannya ‘Malayan’ seperti dikehendaki British. Menurut pensyarah sejarah, Dr Mohd Yusof Ibrahim dalam buku Sejarawan dan Pensejarahan Melayu:

Tradisi dan Transformasi: “Beliau memperjuangkan nasionalisme yang dianggap tulen dan menekankan bahawa alam Melayu adalah hak bangsa Melayu dan wadah kebangsaan Melayu.” (hal 170)

Dr Burhanuddin melihat nasionalisme tulen (tidak seperti ‘asobiyah’ yang bermakna taksub dengan ciri kefanatikan serta perasaan membuta tuli dan degil) sebagai kemerdekaan dan kedaulatan yang sebenar dari segi zahir dan batin. Oleh itu, tema utama perjuangannya ialah kebangsaan Melayu yang dianggap sebagai ‘jiwa dan asas negara Melayu’, Melayu Raya dan Hak Ketuanan Melayu.

Dalam buku Falsafah Kebangsaan Melayu, ditulis dalam Jawi dan dianggap karyanya yang paling berpengaruh, Dr Burhanuddin berpendapat semangat kebangsaan Melayu tidak sempit kerana bukan berasaskan darah keturunan atau negeri sebagai syarat perjuangan atau keanggotaan.

Takrif yang longgar ini memberi peluang kepada bukan Melayu meninggalkan semangat kebangsaan mereka dan menerima semangat kebangsaan Melayu agar kepentingan bersama serta perpaduan kaum dapat dicapai.

“Tiap seorang daripada apa puak atau bangsa pun yang telah putus atau memutuskan pertalian dan perhubungannya dengan kebangsaan asalnya, lalu menumpahkan taat setia dan memenuhi syarat dan kehendak kebangsaan Melayu menurut istilah politik.

Sebaliknya pula tidak dapat dimasukkan seorang baka Melayu kepada kebangsaan Melayu jika seseorang itu telah memutuskan daripada kebangsaan Melayunya dengan pilihan sendiri.” (hal 78)

Tegas Dr Burhanuddin, hak orang Melayu ke atas Tanah Melayu, kedaulatan agama dan budaya Melayu mesti diakui kaum lain. Beliau mengingatkan bahawa walaupun bangsa Melayu mudah beralah, lemah lembut, sopan santun dan menghormati, ini tidak boleh ditafsir sebagai lemah kerana orang Melayu ada tabiat mengamuk.

Beliau mahu kedaulatan Raja-Raja Melayu dikekalkan. Dr Burhanuddin sentiasa anggap Tanah Melayu, Singapura, Indonesia dan Filipina sebagai satu entiti politik yang dipecahbelahkan penjajah British. Usaha mesti diteruskan untuk mewujudkan Melayu Raya sebagai kesatuan politik yang menyatupadukan Melayu di rantau ini.

Beliau mengakhiri  dengan pesanan “Bangsa yang ingin merdeka, tetap merdeka.”