KUALA LUMPUR - Tahap dasar monetari yang akomodatif atau kadar dasar semalaman (OPR) mungkin perlu diselaraskan setelah terdapatnya  tanda-tanda ketidakseimbangan kewangan dan ekonomi yang berterusan, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

"Perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat bulanan jawatankuasa dasar dan kami akan memantau perkembangan ini dengan teliti," kata Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kepada pemberita selepas mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia pada suku pertama 2014 di sini hari ini.

Zeti berkata bank pusat akan melihat dasar yang optimum untuk dilaksanakan bagi menangani isu ini.

"Kami mahu membuat jangkaan dan mengambil langkah awal daripada menunggu untuk satu lagi ketidakseimbangan," katanya.

Bagi suku pertama, OPR dikekalkan pada 3.00 peratus dan keadaan monetari terus menyokong aktiviti ekonomi.

Kadar antara bank tiga bulan lebih tinggi pada suku berkenaan berikutan ketiadaan dagangan dengan BNM pada tempoh tiga bulan akibat daripada pengurangan tempoh maksimum julat lelong matang BNM daripada tiga bulan kepada dua bulan.

Kadar purata antara bank bagi tempoh matang lain secara relatifnya kekal stabil manakala kadar deposit runcit stabil dalam tempoh tersebut.

Bank pusat itu juga menyatakan bahawa purata kadar deposit tetap disebut harga bank perdagangan secara relatif tidak berubah dengan kos pinjaman yang stabil dan purata kadar pinjaman asas. - Bernama