ANKARA - Nilai pasaran pelaburan semasa Khazanah Nasional di Turki kini melebihi US$2.0 bilion berbanding pelaburan asal sebanyak US$1.4 bilion (US$1.00=RM3.23), hasil hubungan dua hala dan komersil yang kukuh antara Malaysia dan Turki.

Pelaburan terbabit yang dibuat sejak Mei 2008, mencatat kadar pertumbuhan dan keuntungan kukuh, yang mencerminkan peningkatan dalam nilai pasaran, kata Pengarah Urusannya Datuk Azman Mokhtar.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Turki dan rakan usaha sama tempatan atas sokongan mereka, dan ini akan menjadi platform strategik bagi memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Turki.

"Pejabat Serantau Turki Khazanah yang dibuka pada 31 Okt, 2013 akan terus meningkatkan pelaburan serantau, hubungan awam dan swasta dan hubungan peniagaan di rantau ini," katanya kepada pemberita di sini pada malam Khamis.

Pelaburan asal Khazanah ialah sebanyak US$48 juta untuk 20 peratus kepentingan menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam lapangan terbang antarabangsa kedua di Istanbul, Istanbul Sabiha Gökçen International Airport (ISGIA).

Azman yang berada di sini sempena lawatan negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata MAHB komited untuk melabur US$300 juta lagi untuk menambah kepentingannya dalam ISGIA kepada 60 peratus daripada 20 peratus.

"Transaksi ini sedang menunggu kelulusan pengawal atur. Selain itu ia merupakan antara satu atau dua perkara yang perlu diselesaikan, namun kami tidak nampak sebarang masalah," katanya.
Pada Disember 2013, MAHB melaksanakan hak untuk tidak membeli 40 peratus kepentingan dalam ISGIA yang dipegang oleh GMR Group melibatkan sejumlah US$300 juta.

Pada Januari 2012, Khazanah menerusi 45.2 peratus syarikat pelaburan miliknya, IHH Healthcare Bhd membeli 75 peratus kepentingan dengan kos pelaburan sebanyak US$1.1 bilion dalam syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan terbesar Turki, Acibadem.

Ia kini memiliki dan mengurus operasi lebih 2,000 katil di 20 hospital selain 14 pusat perubatan berlesen dan perniagaan penjagaan kesihatan sokongan.

Tahun lepas, Acibadem menyumbang 28 peratus kepada pendapatan IHH sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, kata Azman.

Pada November 2013, Khazanah menerusi syarikat pegangan insuransnya, Avicennia Capital Sdn Bhd, membeli 90 peratus kepentingan dalam syarikat penyedia perkhidmatan insurans kesihatan Turki, Acibadem Sigorta membabitkan sejumlah US$252 juta. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/nilai-pelaburan-khazanah-meningkat-1.271678