INDUSTRI pelancongan menyumbang RM51.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) tahun lalu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, sektor pelancongan adalah penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pendapatan tukaran asing kedua terbesar selepas barangan perkilangan.

Pencapaian industri itu melebihi sasaran tahun lalu dengan terima hasil pelancongan bernilai RM65.44 bilion berbanding sasaran RM65 bilion.

Beliau berkata, walaupun melalui tahun yang mencabar, kedatangan pelancong pada 2013 meningkat 2.7 peratus kepada 25.7 juta orang berbanding 25.0 juta pada 2012.

“Pertumbuhan 8.1 peratus dalam terimaan pelancong berbanding RM60.56 bilion pada 2012, menunjukkan pertumbuhan sebanyak RM4.89 bilion dari segi pendapatan pertukaran wang asing.

“Industri pelancongan merupakan penyumbang utama kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya selepas melancarkan SummerNats Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama