BERIKUTAN kerugian RM1.2 bilion yang dialami Malaysia Airlines pada 2013, syarikat penerbangan negara itu mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat keputusan mengenai kaedah melaksanakan penggantian pesawat dalam tempoh beberapa bulan ini.
Dalam senario ini, ia perlu memilih syarikat pengeluar pesawat yang dapat memberikan nilai terbaik dan jenis pesawat yang sesuai untuk operasinya.
Namun, sukar mana sekali pun, ia perlu segera membuat keputusan sebelum berakhir tahun ini memandangkan ia perlu pesawat yang lebih moden dan menjimatkan bahan api seawal 2016 untuk kekal memperoleh bahagian pasaran yang kukuh atau penumpang yang lebih memilih mungkin akan beralih kepada syarikat penerbangan lain yang menyediakan pesawat baharu, atau pesawat lama mungkin akan meningkatkan kos operasi.
Bagi kebanyakan syarikat penerbangan utama, pilihannya sama ada A atau B -- Airbus atau Boeing.
Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia Airlines lebih cenderung kepada Airbus, terutama pesawat perdananya, A380 Superjumbo dua tingkat, yang menawarkan kapasiti yang lebih tinggi sehingga 525 penumpang untuk laluan perjalanan jarak jauh.
Malaysia Airlines memiliki 88 pesawat dalam kumpulannya, menggunakan khidmat Airbus A330 dan A380, dan Boeing 777-200 dan 737.
Syarikat penebangan itu sedang mengenal pasti pesawat baharu bagi menggantikan A330 dan Boeing 777-200 dengan A330, A350-900, A350-1000, Boeing 787-10 atau 737 Max dalam tempoh jangka sederhana dan jangka panjang.
Anggaran konservatif membabitkan kira-kira 30 pesawat baharu namun ada yang mengatakan hampir 100 pesawat baharu.
Keputusan mengenai pembelian kapal terbang bukan perkara yang mudah memandangkan pegawai syarikat penerbangan, dan dalam kes Malaysia Airlines, pegawai kerajaan, berikutan kerajaan memiliki pegangan besar dalam syarikat penerbangan nasional, perlu menimbang banyak isu, termasuk kos pemerolehan, persamaan dalam kumpulan untuk pekerja udara dan darat bekerja dengan cekap, dan perkara lain seperti alat ganti.
Satu lagi pertimbangan penting ialah keseimbangan dalam perjanjian, iaitu perjanjian antara dua pihak, yang mana pembekal bersetuju untuk membeli produk dari pihak yang menjual, untuk memenangi hati pembeli sebagai pelanggan dan mengimbangi pembelian pembeli.
Sebagai alternatif, jumlah pelaburan berkaitan yang dilaburkan untuk sesuatu industri dan kesan limpahannya juga perlu difikirkan lebih mendalam.
Dalam kes Boeing, ia aktif merebut peluang yang wujud menerusi Rancangan Malaysia ke-10 dengan mengambil kesempatan ke atas keupayaan tenaga kerja berteknologi tinggi dalam negara serta keupayaan pembuatan aeroangkasa.
Penganalisis berkata promosi industri pembuatan peralatan aeroangkasa oleh kerajaan mendorong Malaysia menjadi peneraju dalam industri itu di Asia Tenggara.
Mereka berkata keupayaan untuk industri tempatan melaksanakan pakej kerja kompleks yang memerlukan tenaga kerja canggih pada jumlah tinggi terus menarik pelaburan dan pakej-pakej kerja tambahan dari Boeing dan pembekalnya.
Bagi Boeing, pelaburan dan aktiviti rantaian bekalan di Malaysia semakin kritikal untuk rantaian bekalan globalnya berikutan semula program komersilnya termasuk menyumber komponen dan bahagian lain, diperoleh dari Malaysia, kata pemerhati industri itu.
Keseluruhannya Boeing mempunyai 14 pembekal di Malaysia yang menyokong semua program pesawat komersil dan aktiviti itu telah menyumbang antara US$325 juta (kira-kira RM1.07 bilion) dan US$347 juta (kira-kira RM1.14 bilion) kepada Ekonomi Malaysia sejak 2006.
Pembekal utama ialah Aerospace Composites Malaysia (ACM) yang terletak di Bukit Kayu Hitam di Kedah. Kini milik Boeing dan Hexcel, ia ditubuhkan pada 1998 sebagai suatu usaha sama dalam fabrikasi komposit dan perkilangan peralatan kecil.
Hari ini, Boeing Commercial Airplanes ialah pelanggan akhir untuk hampir kesemua keluaran ACM seperti untuk bahagian sayap dan komponen canggih.
Pada November 2013, ACM membelanjakan US$17 juta (kira-kira RM56 juta) untuk meluaskan ruang kilang sebanyak 40 peratus atau 125,000 kaki persegi kepada 440,000 kaki persegi bagi meningkatkan pengeluaran untuk Boeing Commercial Airplanes B737, B747-8, B767, B777 and B787 Dreamliner Generasi Akan Datang.
Pengembangan oleh Boeing dan Hexcel itu akan membolehkan ACM menambah bilangan tenaga kerja pengeluaran berteknologi tinggi melebihi 950 orang sedia ada, dan melonjakkan kedudukannya sebagai majikan utama di Bukit Kayu Hitam.
Pembekal utama Boeing lain termasuk Spirit Aerosystems Malaysia, yang ditubuhkan pada 2007 dan mengaji 500 orang di kemudahan seluas 300,000 kaki persegi di Subang untuk menghasilkan rusuk sayap B777 dan bahagian sayap B787.
CTRM, yang terletak di Melaka, membuat penutup kipas B787 Rolls Royce/General Electric; SME Aerospace, yang terletak di Sungai Buloh pula membuat peralatan mesin.
Singapore Aerospace Manufacturing mengeluarkan kipas aluminium dan rasuk enjin di Pulau Pinang manakala UPECA Technologies di Shah Alam dan Imai Aero Equipmen di Melaka merupakan pembekal peralatan penting lain untuk Boeing.
Dalam kes Airbus Industries, ia juga membeli alat ganti dari CTRM dan Spirit Aerosystems Malaysia.
Ia juga telah mengumumkan rancangan untuk mengembangkan lagi kehadirannya di Malaysia dengan mengembangkan unit penyelenggaraan usaha samanya, Sepang Aircraft Engineering (SAE), dan menubuhkan pusat Perkhidmatan Pelanggan Airbus baharu milik penuhnya bersebelahan kemudahan SAE di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang untuk tugas-tugas penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO). - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/perlu-fikir-panjang-sebelum-ganti-pesawat-1.254060
0 Komentar untuk " Perlu fikir panjang sebelum ganti pesawat "