ANTARA drama paling menarik sepanjang dua minggu lalu dalam dunia korporat di Malaysia adalah pertelingkahan antara syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd dengan pemilik lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Sebenarnya, pertelingkahan antara dua syarikat ini bukan perkara baru, malah berlanjutan sejak bertahun-tahun lalu. Perang mulut terbaru ini bermula selepas syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) mengumumkan kerugian RM1.174 bilion pada 18 Februari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan berkata MAS dan MAHB perlu mula membuat keuntungan bagi mengelak membebankan pembayar cukai.
Kenyataan itu menyebabkan MAHB mengeluarkan jawapan balas mengatakan syarikat itu memang membuat keuntungan tinggi selama ini, selain mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap 'pedas' jika dibaca maksud tersiratnya.
"Sejak 2002, AirAsia turut menerima manfaat prestasi kewangan MAHB yang kukuh dan menerima insentif paling banyak sejak 10 tahun lalu daripada MAHB walaupun ia bukan syarikat penerbangan yang menyumbang jumlah penumpang atau hasil paling tinggi," menurut MAHB.
Pengendali lapangan terbang di Malaysia itu turut menambah MAHB secara khusus memperkenal program insentif untuk menyokong pertumbuhan AirAsia di peringkat awal lagi dan program itu memudahkan pertumbuhan AirAsia sehingga menjadi syarikat penerbangan yang berjaya hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar membalas kenyataan itu dengan menegaskan AirAsia bekerja keras untuk insentif yang diberikan MAHB dan ianya tidak patut dilihat sebagai subsidi atau belas ihsan.
AirAsia berjuang untuk pengguna
Sementara itu, berdasarkan kenyataan beliau sejak beberapa tahun lalu, difahamkan kebimbangan utama Fernandes adalah MAHB boleh menyalahgunakan status monopolinya untuk menaikkan kos tanpa kawalan.
"Kebimbangan utama saya adalah untuk memastikan mereka (MAHB) mengekalkan kos rendah untuk rakyat Malaysia," katanya melalui mesej Twitter, baru-baru ini.
Fernandes berkata, sejarah akan menghakimi AirAsia yang berjuang untuk 'orang biasa'.
Apabila MAHB mahu menaikkan cukai lapangan terbang (PSC) yang dikenakan terhadap penumpang di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada 2011, AirAsia menentang keras dengan mengadakan kempen secara terbuka menolak kenaikan tersebut.
Itu belum lagi termasuk isu kelewatan penyiapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, yang mana kedua-dua pihak menuding jari ke arah satu sama lain.
Tetapi kesimpulannya mudah, kedua-dua syarikat adalah penting kepada negara dan saling menyokong satu sama lain.
Menurut laporan tahunannya, AirAsia tahun lalu membawa 21.9 juta penumpang keluar dan masuk ke Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pendapatan MAHB melalui PSC, dengan MAHB melaporkan keuntungan sebelum cukai RM551.083 juta bagi 2013.
Dan disebabkan MAHB dimiliki kerajaan (tiga pemegang saham terbesar adalah Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Skim Amanah Saham Bumiputera), keuntungan MAHB juga menyumbang kepada pendapatan kerajaan, dan secara tidak langsung kepada rakyat.
Jadi, sampai bila kedua-dua penyumbang besar kepada ekonomi negara itu perlu bergaduh? Apakah tiada jalan penyelesaian yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak?
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/perang-mahb-airasia-berpanjangan-1.256559
0 Komentar untuk " Perang MAHB, AirAsia berpanjangan "