|
|
BUKIT MERTAJAM 25 Nov. - Daya kreatif seorang anak muda mencipta sejenis alat keselamatan motosikal membolehkannya muncul johan Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Peringkat GiatMara Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.
Mohd. Syukri Jalil, 20, dari Pusat GiatMara Tasek Gelugor, dekat sini dipilih sebagai pemenang melalui ciptaan 'Sistem Keselamatan Motosikal' yang mampu meningkatkan tahap keselamatan penunggang kenderaan tersebut.
Dengan kemenangan itu, Mohd. Shukri dari Kampung Paya Keladi Masjid, Kepala Batas, dekat sini menerima hadiah wang tunai RM300 serta sijil penyertaan.
Menurutnya, alat ciptaannya itu disiapkan dalam tempoh seminggu dengan bantuan tiga gurunya, Kamaruddin Osman, Bahari Sharif dan Khairiah Zulfa Ahmad.
''Saya tidak menyangka akan menang tempat pertama. Saya bersyukur kerana kerja keras dalam tempoh seminggu akhirnya membuahkan hasil," katanya.
Mohd. Shukri ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah.
Turut hadir, Pengurus GiatMara Negeri Pulau Pinang, Hasanudin Abdul Salam.
Menurut Mohd. Shukri, alat ciptaannya itu berfungsi memberi amaran bunyi kepada penunggang motosikal sekiranya terlupa mengangkat tongkat selepas gear dimasukkan.
''Alat ini boleh dipasang pada motosikal dengan kos sebanyak RM60 sahaja dan ia adalah yang pertama di Malaysia," tambahnya.
Sebanyak 24 projek reka cipta diketengahkan dalam pertandingan itu melibatkan para pelajar dari 13 Pusat GiatMara di Pulau Pinang.
TAHNIAH ler Syukri
0 Komentar untuk " Mohd. Syukri juara reka cipta "