KUALA LUMPUR: Seni, warisan dan budaya adalah antara gabungan elemen penting yang wajar diterapkan dalam jiwa kanak-kanak sebagai persediaan melahirkan generasi pemikir serta berdaya saing pada masa depan.
Penerapan elemen terbabit tidak sewajarnya diketepikan berbanding bidang sains dan teknologi yang lebih mendapat tumpuan mutakhir ini.
Menyedari kepentingan elemen itu, Yayasan Hasanah (Hasanah), iaitu sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional (Khazanah) dengan kerjasama Netcarbon Sdn Bhd
(Netcarbon) memperkenalkan program Satria Cipta yang menumpukan pembabitan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun.
Projek perintis bagi program ini dimulakan pada 6 Mac lalu membabitkan penyertaan pelajar berusia 10 hingga 12 tahun daripada 15 sekolah di daerah Hulu Langat.
Netcarbon telah dipilih sebagai rakan kerjasama Hasanah berdasarkan kepakaran mereka dalam menyediakan program animasi pendidikan dan hiburan, selain terkenal dengan penghasilan rancangan kanak-kanak seperti Supertots dan Supersquard.
Ketua Pegawai Eksekutif Net-carbon Sdn Bhd, Mohd Rashdan Ramlee, berkata, program Satria Cipta bertujuan menarik minat dan mahu menerapkan kanak-kanak terhadap elemen kesenian, warisan dan kebudayaan.
🔥Mampu capai objektif🔥
Katanya, berdasarkan pengalaman menghasilkan rancangan kanak-kanak itu, pihaknya yakin ia mampu mencapai objektifnya secara menyeluruh.
"Kita mencari jalan bagaimana menerapkan elemen seni, warisan dan budaya pada kanak-kanak. Pada zaman ini, kanak-kanak lebih menyukai modul pembelajaran yang interaktif.
"Hasil kerjasama dengan Hasanah, satu modul telah dibangunkan bagi mendorong kanak-kanak untuk berfikir secara kreatif menggunakan lensa seni, warisan & budaya menerusi program Satria Cipta ini
"Menerusi program itu kanak-kanak diajar berfikir sebagai seorang hero yang antara lain perlu menyelesaikan masalah menggunakan pendekatan yang mengandungi elemen seni, warisan dan budaya," katanya ditemui, kelmarin.
Rashdan berkata, program itu juga menyediakan bengkel bagi melatih pelajar untuk mengenal pasti masalah dan siapa yang perlu dibantu oleh kanak-kanak terbabit.
"Contohnya, kanak-kanak ini perlu menyelesaikan satu masalah yang dialami oleh sebuah keluarga dari Sarawak yang berdepan dengan isu air. Keluarga ini perlu membawa air dari sungai ke rumah.
"Kita mahu lihat, bagaimana mereka membantu menyelesaikan masalah ini dan apakah bentuk bantuan yang patut dilaksanakan," katanya.
🔥Pamer kewibawaan, bijaksana selesai masalah🔥
Pada penghujung bengkel, kanak-kanak ini perlu membuat pembentangan bagi melihat kewibawaan dan kebijaksanaan menyelesaikan masalah.
"Apa yang menariknya, saya lihat kanak-kanak terbabit mempamerkan cara tersendiri dengan pelbagai corak persembahan.
"Antaranya, ada yang berlakon, berteater, berpantun, menari dan segelintir menjadi saintis. Berdasarkan persembahan dan pembentangan kanak-kanak itu, memang mengejutkan kita kerana antaranya mampu berfikir di luar kotak.
"Menerusi bengkel ini juga dapat mendedahkan mereka kaedah yang terbaik untuk menarik minat dan mengajar kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)," katanya.
Beliau berharap program berkenaan diharap dapat dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah seluruh negara.
Oleh Haryani Ngah
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2017/11/347471/lahir-generasi-bijak-berfikir-secara-kreatif
0 Komentar untuk " Lahir generasi bijak, berfikir secara kreatif "